PEKIRA Mahu Berhimpun Depan Pejabat RoS

KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) sudah hilang sabar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana masih belum meluluskan penubuhan parti politik itu dan merancang untuk mengadakan himpunan di depan pejabat mereka.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah memberi tempoh sehingga hujung bulan Oktober ini kepada RoS untuk membuat keputusan berhubung status pendaftaran mereka atau mereka akan berhimpun beramai-ramai depan pejabat RoS nanti.

“Pekira beri RoS sampai hujung bulan 10 (Oktober), kalau tidak kita akan berhimpun depan pejabat RoS,” kata beliau semasa sidang media di Setapak hari ini.

Ridzuan membidas RoS yang memberi alasan faktor keselamatan sebagai punca pendaftaran Pekira belum diluluskan dan mendesak RoS supaya berterus-terang dengan tidak memberi alasan tidak masuk akal.

“RoS kata kena fikir faktor keselamatan, kita ini bukan pengganas… faktor keselamatan apa yang RoS cakap ini?” soal beliau.

Ridzuan turut mempersoalkan tindakan RoS yang mudah memberi kelulusan kepada parti pembangkang tetapi kepada Pekira yang menyokong kerajaan tidak boleh pula dipercepatkan.

“Mengapa kepada pembangkang mudah luluskan pula? Kita ini parti pro-kerajaan, kenapa takut sangat?” ujarnya.

Jika isu kelulusan ini berterusan, Ridzuan tidak menolak ahli-ahli dalam Pekira mungkin diletak sebagai calon Bebas dan langkah ini akan memberikan kesan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 depan nanti.

“Kalau tidak bagi kelulusan, kita memang akan kacau tanding nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.