Kapal Nelayan Ditahan Cuba Seludup Barang Kawalan

Pasukan Polis Marin (PPM) di Sandakan menahan seorang kru sebuah kapal nelayan selepas penemuan beberapa barangan kawalan di dalam kapal itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran, semalam.

Antara yang dirampas ialah 4,000 liter minyak petrol, 400 liter minyak diesel dan 30 tong gas memasak.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata anggota PPM yang meronda di Kuala Sungai Batu 2 dekat sini memeriksa bot nelayan terbabit yang sedang berlabuh dengan sarat muatan.

Hasil pemeriksaan di dalam ruang kargo hadapan dan belakang kapal itu terdapat barangan kawalan cuba diselewengkan bagi tujuan penyeludupan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya barangan lain dirampas dari kapal nelayan itu adalah 67 bungkus minyak masak, 66 bungkus tepung gandum, 58 bungkus gula pasir, 43 bungkus tepung beras dan 18 karung baja Ammonium Nitrat.

Katanya nilai barang rampasan termasuk bot nelayan adalah RM239,846.

Beliau berkata seorang kru warga Filipina berusia 31 tahun yang berada di dalam kapal nelayan itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Sandakan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.