Hafal Al-Quran 30 Juzuk, Peniaga Tawar Mee Percuma Sepanjang Hayat

Seorang peniaga makanan di Jakarta, Indonesia dipuji ramai kerana sikap pemurahnya menawarkan makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang telah menghafal seluruh 30 juzuk Al-Quran.

Gerainya mula dikenali ramai setelah satu kain rentang menawarkan juadah digerai makanan secara percuma kepada golongan ‘al-Hafiz’ dimuat naik di media sosial.

Pelanggan yang menghafal juzuk ke-30 atau juz amma juga akan menikmati juadah di gerainya secara percuma selama seminggu.

Bu Ijah yang meniaga Mee Ayam di hadapan Plaza Harmoni, Jakarta berkata, idea tersebut dicetuskan anaknya, Anto, yang mendalami ilmu agama.

“(Kain rentang) itu anak saya yang pasang. Untuk menarik pelanggan sahaja.

“(Berniaga) sambil beramal, yang hafal tak ramai. Dia (Anto) yang memberi cadangan. Dia memang kuat pegangan agamanya,” kata Bu Ijah dipetik media Indonesia, Detik News, lapor MD.

Perniagaan Bu Ijah sentiasa laris dan sewaktu wartawan berkenaan melewati gerai berkenaan, premis tersebut penuh dengan pelanggan.

Mee Ayam Bu Ijah dijual dengan harga 18,000 rupiah, bersamaan RM5.60.

Bagi pengguna media sosial, majoritinya memuji strategi perniagaan kedua-dua anak beranak ini untuk menggalakkan orang ramai menghafal Al-Quran.

“Sebenarnya tujuannya bukan untuk memberi makanan percuma kepada pelanggannya tetapi untuk memberi semangat muslim untuk mempelajarinya, menghafal dan mengamalkan Al Quran yang selam ini hukum dan anjarannya banyak ditolak, ditentang, dipermainkan, diperlekehkan dan dibenci serta dimusuhi bahkan diperangi orang-orang yang telah ingkar dan khianat kepada Allah dan RasulNya,” kata Eric Yudanta Skyputra.

“Ini sangat bagus. Lebih mulia jika beri makanan percuma kepada orang buta atau cacat (anggota),” ujar Tonny Liemantoro memberi cadangan.

Namun tidak kurang juga yang memberi pandangan negatif dan menganggap ianya sebagai gimik perniagaan untuk menarik pelanggan.

“Strategi pemasaran, logiknya siapa penghafal al Quran yang mahu membaca ribuan ayat hanya untuk mendapat semangkuk mie setiap kali lapar? Strategi perniagaan, dengan membuat gimik-gimik sebegitu, secara automatik makin ramai mengetahui produknya dan mendapat liputan media.

“Tapi bagus juga, boleh dikaitkan dengan situasi semasa dimana kini ramai masyarakat yang mudah terpukau dengan hal-hal berkaitan keagamaan. Strategi yang bernas,” ujar Ahmad Syururi.

Bagi Ervan Bahrian pula, beliau menyifatkan Bu Ijah sebagai pengunggang agama kerana menggunakan kewibawaan Al Quran sebagai pelaris jualan.

“Ya, ini gimik. Pendusta agama. 30 juz hanya dihargai dengan semangkuk mi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.