40 Peratus Sekolah Tahfiz Tidak Patuhi Aspek Keselamatan

LABUAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenal pasti sekurang-kurangnya lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,657 sekolah tahfiz yang beroperasi di seluruh negara termasuk di Labuan masih belum mematuhi aspek keperluan keselamatan yang ditetapkan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata jabatan itu mempunyai senarai sekolah agama yang beroperasi di seluruh negara, terdiri daripada 515 sekolah pondok, 1,657 sekolah dan pusat tahfiz serta 1,666 Sekolah Agama Rakyat, yang mana 702 daripada sekolah-sekolah ini sudah diperiksa, lapor Bernama.

“Kami selalunya menumpukan pemeriksaan ke atas pusat dan sekolah yang berdaftar, tetapi sekarang, kami mengambil keputusan untuk memastikan kesemua sekolah agama di negara ini termasuk yang tidak berdaftar untuk mematuhi keperluan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu acara penyampaian anugerah di sini hari ini.

Beliau juga berkata jabatan itu akan mengenakan peraturan ketat ke atas struktur asrama sekolah-sekolah itu.

Wan Mohd Nor juga mendedahkan sejumlah 144 notis sudah dikeluarkan kepada pengurusan sekolah tahfiz mengenai keperluan mematuhi aspek keselamatan bangunan seperti aturan pendawaian elektrik dan penyediaan pintu keluar.

Beliau berkata pengurusan sekolah sudah diberikan tempoh masa maksimum enam bulan untuk mematuhi sepenuhnya spesifikasi yang ditetapkan jabatan itu.

Wan Mohd Nor berkata pihaknya komited untuk menghantar laporan penuh kepada kerajaan pada 23 Okt ini termasuk syor penambahbaikan sekolah-sekolah agama ini,

“Berdasarkan pemeriksaan kami, kami menemukan beberapa kelemahan yang perlu penambahbaikan dalam masa terdekat termasuk pemasangan jeriji pintu dan tingkap yang tidak menepati spekifikasi jabatan ini.

Kami juga menemukan ketiadaan alat pemadam api dan pengesan asap serta pendawaian elektrik yang tidak berada dalam keadaan baik,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata jabatan itu sudah menubuhkan 236 Skuad Bomba Pondok dengan 3,500 anggota berdaftar termasuk di Sekolah Tahfiz al-Quran Sri Merinding, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.