Wisma Putra Sahkan Dr Fauziah Telah Dibebaskan Dari Tahanan Israel

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini mengesahkan telah mendapat maklumat, yang satu-satunya warga Malaysia di atas kapal Zaytouna-Oliva yang ditahan Israel pada Rabu lalu telah dibebaskan.

 

Dr Fauziah Mohd Hassan yang di dalam misi kemanusiaan ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG) turut dilaporkan dalam keadaan selamat.

 

“Kementerian Luar telah menerima maklumat bahawa satu-satunya warga Malaysia yang berada di atas kapal Zaytouna-Oliva adalah selamat dan telah dibebaskan.

 

“Di atas permintaan Dr Fauziah sendiri, beliau akan meninggalkan Tel Aviv menerusi penerbangan menuju ke Bangkok, Thailand,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini.

 

Kementerian Luar turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin dan memberikan sokongan yang diberikan.

 

Sebelum itu dua anggota misi itu telah dibebaskan semalam iaitu wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia.

 

Kedua-duanya telah selamat tiba ke negara masing-masing.

 

Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod pada Rabu.

 

Perjalanan mereka bermula pada 14 Sept dari pelabuhan Vell di Barcelona dan berhenti di Ajaccio, Perancis pada 19 Sept 19 selepas pusingan pertama sebelum belayar ke Messina, Itali untuk pusingan kedua. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.