SPRM Temui RM3.3 Juta Dalam 7 Peti Besi Timbalan Pengarah

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas wang tunai kira-kira RM3.3 juta dari tujuh peti besi milik timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan yang disimpan di beberapa buah bank di Kota Kinabalu yang berjaya dibuka kelmarin dan semalam.

 

Menurut sumber yang rapat dengan pasukan penyiasat SPRM, empat peti besi yang dibuka kelmarin mengandungi wang tunai RM2.5 juta manakala tiga lagi peti yang dibuka semalam mengandungi kira-kira RM870,000.

 

“Jumlah tersebut (RM3.3 juta) termasuk RM2.5 juta yang dirampas pada awal siasatan (didedahkan SPRM kelmarin),” kata sumber berkenaan.

 

Sumber berkenaan berkata turut dirampas dalam tujuh peti besi berkenaan ialah barangan kemas dan SPRM dijangka akan memanggil pengusaha kedai pajak gadai esok untuk menilai semua barang kemas yang telah dirampas itu.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

 

Dalam sidang akhbar kelmarin, beliau berkata timbalan pengarah dan pengarah sebuah agensi kerajaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

 

Beliau mendedahkan rampasan wang tunai berjumlah RM114.5 juta daripada pengarah, timbalan pengarah, ahli perniagaan serta anggota keluarga mereka yang disyaki mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan kuasa berkenaan.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.