Program Permata Kanak-Kanak Diaudit Jabatan Audit Negara

KUALA LUMPUR — Program Permata Negara (Permata) menegaskan sebagai sebuah agensi persekutuan, ia tidak mengaudit akaunnya sendiri, sebaliknya pengauditan akaun Permata diteliti penuh Jabatan Audit Negara dan dimasukkan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun.

 

Justeru, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor menyifatkan laporan Roketkini, portal berita pro DAP, bahawa akaun Permata tidak dibentang pada sesi lawatan beberapa wakil rakyat parti itu ke Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Kerinchi semalam, sebagai tidak jujur.

 

“Sesi lawatan itu bukan sesi pengauditan akaun, sebaliknya ia adalah sesi penerangan program dan kejayaan dicapai agensi itu.

 

“Juga dibentang (pada lawatan itu) ialah perbelanjaan program Permata termasuk jumlah perbelanjaan dan bagaimana pembelanjaan tersebut diagihkan,” kata Rizal, yang juga pegawai khas kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

 

Semalam, beberapa wakil rakyat DAP iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin, ADUN Subang Hannah Yeoh, ADUN Pulau Tikus Yap Soo Huey dan Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming mengunjungi PAPN itu.

 

Rizal berkata berikutan lawatan itu pihaknya berbesar hati dengan kesimpulan dibuat pemimpin DAP bahawa program PERMATA yang dinaungi Rosmah memberi manfaat kepada masyarakat.

 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil rakyat DAP termasuk Yeo Bee Yin, Hannah Yeoh, Ong Kian Meng dan ADUN Penang Yap Soo Huey kerana sudi melawat ke Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) Kerinchi semalam.

 

“Pemimpin daripada Barisan Nasional yang turut hadir termasuk ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie,” katanya.

 

Rizal berkata beliau telah meletakkan syarat kepada Yeo untuk mengadakan sidang media selepas lawatan itu dan menjelaskan isu-isu yang telah dibangkitkan berkaitan projek-projek kontroversi melibatkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

 

“Kehadiran Yeo dan rakan-rakan membuktikan bahawa mereka menerima syarat yang saya nyatakan. Namun begitu, semalam Yeo hanya menyerahkan kertas 10 mukasurat kepada saya tanpa sebarang penjelasan.

 

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa DAP tidak ada monopoli dalam mencari ketelusan,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.