Barangan Kemas Dirampas 19.3kg Bernilai RM3.64 Juta – SPRM

KOTA KINABALU – Nilai sejumlah barang kemas yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi di Sabah dianggarkan berjumlah RM3.64 juta.

 

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.

 

“Berat barang kemas bagi suspek berjawatan pengarah adalah 14.5kg yang bernilai RM2.74 juta ringgit.

 

“Manakala bagi suspek berjawatan timbalan pengarah, nilai barang kemas seberat 4.8kg dianggarkan dalam RM900,000,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI  hari ini.

 

Anggaran itu dibuat SPRM menerusi khidmat seorang pakar penilai barang kemas dari bank tempatan.

 

Tambah Azam, proses menilai barang kemas itu bermula kira-kira 10.30 pagi dan selesai kira-kira 12.15 tengah hari tadi.

 

Sehingga kini, nilai rampasan melebihi RM114.5 juta diperoleh daripada suspek dan keluarga mereka, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan itu.

 

Selain rampasan dan sejumlah barang kemas, SPRM turut merampas sembilan kereta mewah.

 

Pengarah dan timbalan pengarah itu ditahan reman bersama dua lagi individu awam sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.