Video: Sekolah Di Selayang Terbakar Ketika Murid Sedang Belajar

Kuala Lumpur – Sebuah bangunan sekolah di Selayang hangus terbakar ketika murid-murid sedang menjalani sesi pembelajaran.

 

Kebakaran itu berlaku di tingkat tiga bangunan kelas A di Sekolah Kebangsaan Taman Samudera Selayang yang membabitkan kemusnahan secara total kepada tujuh unit termasuk lima unit kelas, satu stor buku dan satu stor peralatan yang menyimpan meja dan kerusi.

 

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pada jam 11.45 pagi dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada jam 12.00 tengah hari.

 

 

Jentera pertama tiba dari Balai Bomba Bandar Baru Selayang ke sekolah itu adalah pada jam 12.06, ketika itu asap berkepul keluar dari tingkat atas bangunan dan api sedang marak di tujuh unit kelas.

 

Turut terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu adalah dari Balai Bomba Rawang dan Gombak Selatan.

 

Menurut jurucakap bomba, guru-guru berjaya menyelamatkan murid-murid ketika api marak di tingkat atas bangunan sekolah tetapi mereka tidak dapat menyelamatkan harta persendirian seperti beg dan buku.

 

“Guru dan murid sedang menjalankan proses pembelajaran di dalam kelas, apabila bau asap dikesan, penggera kecemasan berbunyi.

 

“Guru-guru di dalam kelas tingkat atas di blok itu bertindak pantas mengerakkan murid-murid keluar dari kelas dan berkumpul di kawasan lapang,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Tindakan pantas guru-guru sekolah itu berjaya menyelamatkan semua murid-murid di lima buah kelas yang terbakar.

 

Bomba berjaya memadamkan kebakaran pada 12.23 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Bomba mengerakkan 36 anggotanya termasuk tiga jentera bomba, dua jentera FRT dan dua ambulan ke tempat kejadian.

 

Punca kebakaran masih lagi disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.