Video: Pekerja Hotel Tak Mengaku Salah Cederakan Isteri Guna Parang

SEREMBAN – Seorang pekerja hotel dan rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan parang di Taman PD Utama, Port Dickson, Khamis lepas.

 

Tertuduh, K Saravanan, 26, dan Ahamad Mohd. Latif, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa, D Megala, 24, menggunakan parang dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

 

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon bantahan terhadap sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana mangsa di dalam kes ini adalah isterinya dan ada kemungkinan untuk tertuduh menghampiri mangsa dan mereka yang terlibat dalam kes ini.

 

Selain itu, Syamimi Farhana berkata kes ini juga melibatkan kepentingan awam kerana kes tersebut sudah tersebar luas di media sosial.

 

Kamarudin kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 13 November hadapan untuk sebutan semula kes dan pembentangan laporan perubatan mangsa.

 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.