Singapura Mahu Lebih Banyak Laksana Pembidaan

KUALA LUMPUR – Memorandum Persefahaman (MOU) antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS) bagi Projek Penyepaduan Tenaga (PIP) tidak akan ditandatangani semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean (AMEM) kali ke-33 disebabkan beberapa pengecualian di peringkat Singapura.

 

 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, beliau yakin MOU itu akan dimeterai dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

 

“Buat masa ini, Singapura mahu lebih banyak masa untuk melaksanakan proses pembidaan yang telus dan kompetitif. Projek perintis PIP ini dilaksanakan dalam dua fasa, dengan Laos, Thailand dan Malaysia boleh memulakan projek ini dalam fasa satu dengan Malaysia membeli cadangan 100 megawatt daripada Laos dan Thailand,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat AMEM  dan Mesyuaat-mesyuarat Berkaitan, di sini hari ini.

 

 

Projek itu bermatlamat meneroka dagangan tenaga merentas sempadan membabitkan LTMS, yang diluluskan semasa AMEM ke-32 yang berlansgung pada 23 September 2014 di Vientiane, Laos.

 

 

Ongkili berkata transaksi pelbagai hala itu lebih mudah dimuktamadkan memandangkan kemudahan bekalan elektrik di Laos, Thailand dan Malaysia bersepadu sepenuhnya dan hanya perjanjian pembelian tenaga (PPA) perlu ditandatangani.

 

 

Ditanya mengenai pengumuman oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) baru-baru ini mengenai PPA dengan YTL Power Generation Sdn Bhd yang telah luput, Ongkili berkata, kerajaan sudah melanjutkan PPA tiga syarikat menerusi proses pembidaan kompetitif.

 

 

“Terdapat kekurangan besar akibat kelewatan beberapa projek, dan atas sebab itu kami membuka pembidaan untuk mereka yang meminta pelanjutan pada harga terbuka.

 

 

“Syarikat yang berjaya ialah TNB, YTL dan Malakoff, dan kontrak diperbaharui untuk tempoh kira-kira tiga tahun,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.