Sekolah Agama Dakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang Bersikap Zalim

GEORGE TOWN – Sekolah Rendah Islam Al-Ansar (SRIA) di Balik Pulau semalam mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mempunyai agenda politik apabila ia menghentikan bantuan kewangan kepada sekolah itu.

 

Pengarah SRIA Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng mengamalkan diskriminasi terhadap sekolah itu dengan menarik balik bantuan kewangan kepadanya tahun ini.

 

“Kami menerima bantuan kewangan tahunan dan tahun ini kami telah diberi surat untuk menerima bantuan itu tetapi pada 3 September, kami diberitahu bantuan berkenaan ditarik balik dan seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) datang untuk mengambil balik surat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau percaya ini menunjukkan ada ‘tangan tersorok’ terbabit berikutan campur tangan politik dalam pentadbiran negeri.

 

“Ini adalah kezaliman terhadap sebuah institusi pendidikan agama di negeri ini,” tambah Muhammad Fauzi.

 

Sekolah Agama Rakyat (SAR) itu didaftar dengan Jaipp dan sudah beroperasi sejak 2008.

 

Muhammad Fauzi berkata, sekolah itu kini mempunyai 215 pelajar dengan kebanyakan mereka dari golongan berpendapatan tengah dan rendah.

 

Minggu lalu, ketua perhubungan Ulama PAS Datuk Khairuddin Aman Razali menuduh kerajaan negeri menghenti bantuan kewangan kepada sekolah agama dimilik ahli PAS.

 

Pengerusi jawatankuasa hal-ehwal agama negeri Datuk Abdul Malik Kassim membalas dakwaan itu dengan menyatakan Pulau Pinang terus memperuntukkan RM1.75 juta kepada 177 sekolah agama di negeri ini tahun ini.

 

Beliau menekankan bantuan kewangan itu diberi kepada sekolah agama berdasarkan permohonan dan keperluan mereka.

 

“Kami hanya meluluskan permohonan dari sekolah-sekolah dan memberi bantuan mengikut nama sekolah. Kami tak tahu mana satu adalah dimiliki oleh PAS. Melempar tuduhan begini adalah tidak wajar,” tambahnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.