Saya Tidak Terlibat – Khalid Ibrahim

Kuala Lumpur – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau tidak terlibat dengan gerakan menubuhkan parti baharu sebagai kuasa ketiga oleh pemimpin dan aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau lebih selesa melihat perkembangan itu dari luar daripada melibatkan diri dalam gerakan itu.

 

“Saya lebih selesa menumpukan kepada usaha dan memberi pandangan memulihkan kedudukan ekonomi yang kini diasak dari dalam dan luar,” katanya kepada FMT.

 

Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak itu berkata, beliau tidak hairan dengan gerakan itu susulan banyak masalah yang timbul kerana kegagalan pimpinan PKR menguruskan parti dengan baik.

 

Katanya, terlalu banyak aduan daripada ahli PKR yang gagal ditangani oleh pimpinan secara adil, telus dan menyeluruh.

 

Malah, katanya, tindakan parti-parti pembangkang sejak akhir-akhir ini juga menunjukkan ia gagal menyediakan wadah yang lebih kondusif dan inklusif kepada rakyat Malaysia khususnya pengundi atas pagar.

 

“Saya tidak hairan sekiranya ada usaha dari PKR untuk menubuhkan parti baharu bagi mewujudkan gerakan kuasa ketiga demi mewujudkan suasana politik yang lebih seimbang,” katanya.

 

Pada masa sama, Khalid berkata, beliau masih menunggu keputusan aduannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkenaan tindakan PKR memecatnya yang didakwa dilakukan secara tidak sah dan melanggar perlembagaan parti itu.

 

Khalid disebut-sebut antara bekas pemimpin PKR yang terlibat dalam gerakan penubuhan parti baharu itu.

 

Ia susulan pendedah ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang mendakwa terdapat gerakan untuk menubuhkan parti baharu oleh bekas pemimpin dan aktivis PKR dan turut didalangi parti sekutu pembangkang.

 

Dia mendakwa mendapat maklumat dari kakitangan ROS bahawa usaha mendaftarkan parti baharu itu dilakukan di Putrajaya pada minggu lalu.

 

Katanya, gerakan itu ada kaitan dengan penubuhan Pakatan Harapan yang menyebabkan perpecahan dalam PKR sehingga membawa kepada usaha mengulingkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 

Pimpinan Pas menafikan parti itu terlibat membantu PKR dalam gerakan menubuhkan parti baharu itu. – FTM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.