“Saya Hanyalah Nabil Yang Biasa” – Haji Nabil

Pelawak dan pengacara terkenal, Ahmad Nabil Ahmad mengakui pengalaman selama 12 hari menunaikan ibadah haji di Mekah pada September lalu banyak mengajarnya menjadi manusia yang lebih penyabar.

 

Menerusi atikel terbitan Kosmo! hari ini, bapa dua cahaya mata ini berkata pengalaman yang dilaluinya sepanjang di tanah suci secara automatik menginsafkan dan membuatkan dia bersyukur dengan kesenangan yang diberikan Allah sepanjang berada di sana.

 

Momen paling mahal dan sukar dilupakan Nabil adalah sewaktu melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah.

 

Menurut Nabil, hatinya terusik sewaktu berada di sana kerana Nabi Muhammad pernah berkata bahawa Arafah adalah haji dan haji adalah Arafah. Memahami begitu pentingnya keberadaan di Arafah, Nabil tidak henti berdoa kerana pada waktu itu, umat Islam percaya, Malaikat berada paling dekat dengan bumi.

 

Selepas bergelar haji, selain misi terbesarnya mengumpul duit untuk menghantar ibu bapa dan mertuanya menunaikan haji secepat mungkin, Nabil sekarang dalam proses untuk kembali belajar membaca al-Quran dan perkara lain tentang agama.

 

“Saya mengaku, masih banyak kekurangan. Tidak semestinya selepas mengerjakan haji, balik terus boleh jadi ustaz.

 

“Tidak! Saya hanyalah Nabil yang biasa. Cuma selepas tunaikan haji, saya harus pandai menjaga diri. Jika dahulu, saya hanya dirikan solat yang wajib, sekarang saya kena rajin buat solat sunat dan perkara lain yang boleh mendapat pahala tambahan,” ujarnya.

 

Dalam pada itu Nabil berkata, industri hiburan juga banyak mendidiknya. Dia pernah berada di puncak populariti dan jatuh terduduk kerana kontroversi. Katanya, pengalaman tersebut membentuknya menjadi Nabil hari ini.

 

Nabil bersyukur kerana kejatuhan kerjaya dan kehidupan peribadinya pada 2010 telah menyedarkan dirinya, bahawa seorang artis tidak akan sentias berada di atas.

 

“Program Raja Lawak mengubah kehidupan saya 180 darjah. Sebab itu, semua rakan saya berkata, perkara paling ajaib pernah berlaku di dunia adalah saya. Bayangkan dahulu, saya penghantar surat yang bergaji RM600 sebulan.

 

“Tahun 2010 merupakan zaman kejatuhan saya. Kerjaya dan kehidupan peribadi tidak menjadi. Alhamdulillah, saya cepat tersedar kerana terlalu hanyut dengan keduniaan

 

“Saya berfikir, dahulu waktu jadi penghantar surat, hidup sentiasa gembira dan tidak bermasalah. Sebabnya ketika itu, saya amat menjaga solat. Bila jadi artis dan sudah sibuk, perkara yang asas iaitu solat telah saya ditinggalkan.

 

“Perkara itu amat menyedarkan saya. Apabila saya baiki solat, lama-kelamaan semuanya kembali pada kedudukan yang normal. Kerjaya bertambah baik dan saya bertemu jodoh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.