Restoran Cina Muslim Amber, Peluas Rangkaian Ke Terengganu

Kuala Lumpur – Setelah beroperasi dua bulan di Kuala Lumpur, Amber China Resources Sdn Bhd, pemilik Restoran Cina Muslim Amber di Malaysia bakal melebarkan sayapnya di Terengganu menjelang suku pertama 2016.

 

Pengarahnya, Haji Ismail Nuh @ Cui Wei berkata rancangan untuk membuka cawangan di negeri di Pantai Timur itu selaras dengan hasrat syarikat induk restoran, Amber Group Holding yang berpengkalan di Lanzhou, China meluaskan pasaran bagi mengukuhkan jenama mereka di luar China.

 

“Terengganu dipilih sebagai tapak untuk melebarkan sayap perniagaan makanan di luar Kuala Lumpur kerana hubungan akrab di antara kerajaan negeri Terengganu dengan usahawan dari China. Sejak mereka membuka pintu perniagaan kepada usahawan China, kami merasakan ia menjadi kunci utama kepada peluang perniagaan yang cerah di negeri itu.

 

“Selain itu, kami juga tertarik dengan budaya umat Islam di negara ini yang masih memelihara kesejahteraan agama tanpa ada pergolakkan disebabkan anutan seperti yang berlaku di sesetengah negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

 

Restoran Amber Chinese Muslim yang terletak di Nexus, Bangsar South merupakan premis sulung rangkaian restoran milik Amber Group Holding (AGH) di Malaysia. Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

 

Dengan kos RM1.5 juta bagi membuka cawangan di negeri itu, Haji Ismail berkata beliau yakin Restoran Amber Chinese Muslim akan mendapat tempat di kalangan penduduk Terengganu dan negeri-negeri lain di pantai timur.

 

“Sememangnya dari awal perancangan lagi, kami menyasar untuk membuka 15 cawangan di negara ini. Restoran sulung yang dibuka sejak dua bulan kini mula mendapat sambutan di kalangan warga kota.

 

“Malah, dengan kunjungan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke China baru-baru ini memberi dimensi baru kepada para peniaga dari Tanah Besar untuk meneroka peluang-peluang perniagaan di negeri tersebut,” katanya lagi.

 

Menurut Haji Ismail, syarikatnya telah pun membuat kajian di Terengganu sebelum ini dan mendapati bahawa masyarakat di sana menanti kehadiran sajian istimewa yang didatangkan khas dari Utara China.

 

Sejak mula beroperasi pada tahun 2009, AGH kini mempunyai 19 cawangan restoran seumpamanya di seluruh China yang menawarkan hidangan Cina Muslim. Antara lokasinya termasuk Beijing, Xinjian, Wuhan, Hangzhou, Guangzhou, Qing Hai, Xian dan Shenzhen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.