Pasangan Warga Emas Maut Di Gua Musang, Angkara Bahan Letupan

Gua Musang – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka meletup dipercayai angkara bahan letupan buatan sendiri yang dipasang pada motosikal mereka dalam kejadian di Kilometer 10 Jalan Gua Musang- Kampung Pulai.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pasangan warga emas berusia 72 tahun itu maut di tempat kejadian akibat letupan terbabit.

 

Menurut saksi, mangsa dikenali sebagai Cha Mok Liang dan isterinya Fong Ah Fong yang berasal dari Kampung Batu Papan Dua, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dalam perjalanan untuk sarapan pagi selepas menoreh getah.

 

“Sebaik terdengar letupan saya segera bergegas ke tempat kejadian dan mendapati motosikal mangsa dalam keadaan terbakar.

 

“Ketika itu saya melihat kedua mangsa terbaring di atas jalan raya dalam keadaan menggerikan di mana badan mangsa hancur dan berkecai,” katanya.

 

Menurutnya yang enggan dikenali, kedua-dua mangsa memang dikenalinya kerana tinggal tidak jauh daripada rumahnya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian letupan itu dipercayai bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan pada motosikal mangsa.

 

Beliau berkata, letupan itu bukan bom tetapi bahan letupan yang dibuat sendiri dan sejurus kejadian itu seorang lelaki berusia lingkungan awal 20-an yang mempunyai pertalian dengan keluarga mangsa ditahan.

 

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu termasuk motif kejadian sebenar dan mengharapkan orang ramai tidak menyebarkan andaian berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.