Naskhah Agung Hamka, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ Di Istana Budaya

Kuala Lumpur – Bukan mudah menjadi pengiat seni lebih-lebih lagi pengalaman pertama mengangkat sebuah naskah besar dari negara tetangga ke pentas teater.

 

Karya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan sebarangan naskah, namun cabaran mengadaptasi dan inteprentasi ke pentas teater bukan mudah memuaskan hati semua pihak.

 

Pengarah kelahiran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (Fita), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamad Azhar Zainal adalah nama baru dalam dunia teater berskala besar di negara ini.

 

Namun, peluang yang diberikan tidak dilepaskan begitu sahaja untuk menghasilkan karya di pentas Istana Budaya.

 

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, bukan mudah persiapkan diri untuk dikritik, namun alah bisa tegal biasa dan sebagai pengarah muda ia perlu demi menghasilkan karya lebih baik.

 

“Bukan mudah untuk mengadaptasi teater dari naskah agung karya ulama terkenal Nusantara, namun hasil usaha dan berkat semua, teater ini akan dipentaskan pada 12 hingga 18 Oktober ini,” katanya.

 

Penulis berkesempatan menonton pra-persembahan teater ini di Lambang Sari, Istana Budaya semalam dan daripada hasil pemerhatian ia memiliki unsur melodramatik dengan garapan skrip mendalam yang mampu menyentuh perasaan penonton.

 

“Bagi pengemar teater, unsur muzikal adalah elemen penarik penonton teater baru, barisan artis popular yang memeran watak dengan cukup optimis memberi kesan dalam keseluruhan cerita,” katanya optimis.

 

Pra-persembahan yang dipertontonkan kepada wakil media dan penaja selama 40 minit semalam cukup mengesankan.

 

Sentuhan magis pengarah muda ini adalah cenderung kepada olahan skrip dan kata-kata puitis yang diucapkan si pemeran watak dengan ubahan sedikit dari naskah novel karya Allahyarham Prof. Hamka yang diterbitkan pada 1939.

 

Teater ini penuh paparan adat minang di daerah Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang menggalakkan anak teruna merantau ke negeri orang.

 

Kuat dengan unsur budaya dan adat resam Minangkabau, penulis terimbau pengalaman menjejakkan kaki ke daerah beradat tanah pusaka kebanggaaan orang minang itu.

 

Konflik tercetus melalui asal usul watak utama Zainuddin yang datang dari Makassar, Sulawesi ke daerah asal ayahdanya di Minangkabau (Padang), namun timbul persoalan, mengapa anak perantau ini digelar ‘anak pisang’ dan tidak disenangi orang tempatan di sana.

 

Penonton mula diasak dengan konflik yang dialami Zainuddin apabila dia jatuh hati dengan Hayati, anak penghulu besar di Padang.

 

Penulis turut tidak sabar menanti kesudahan olahan teater ini sehingga akhir walaupun naskah bukunya telah dibaca.

 

“Ini sebuah kisah cinta yang menyayat hati yang melibatkan dua jiwa. Yang melibatkan darjat, pangkat, harta, nafsu, cinta dan kesetiaan,” ujar Mohamad Azhar ringkas.

 

Bukan hanya karya Hamka itu sendiri yang mampu menarik perhatian penonton menonton teater terbitan CTRA Productions ini tetapi barisan pelakonnya turut dilihat sebagai pelaris utama untuk melariskan penjualan tiket.

 

Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ditunjangi aktor muda yang semakin meningkat naik iaitu Amar Baharin sebagai Zainuddin selain Nabila Huda (Hayati), Syarul Ridzwan (Muluk), Karl Shafek (Azis) dan Amyra Rosli (Khatijah).

 

Bukan itu sahaja, pementasan yang menelan belanja RM2.4 juta itu turut dibantu pelakon berpengalaman lain seperti Liza Abdullah, Rasdi Daud dan Bohari Ibrahim.

 

Bagi mereka yang hendak menonton teater ini, tiket berharga dari RM37.10 hingga RM270.30 masih lagi dijual dan dikhabarkan ia cukup laris dengan bilangan tiket yang semakin terhad.

 

Sebarang pembelian dan tempahan bolehlah melayari laman sesawang, redtix.airasia.com/events/TenggelamnyaKapalVanderWijck/ atau hubungi talian 03-4026 5558 dan 03-8775 4666.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.