Karl Shafek Tiada Niat Burukkan Fynn Jamal

Gara-gara satu status di Twitter berbentuk pertanyaan mempersoalkan gaya nyanyian Fynn Jamal yang diluahkannya pada Isnin lalu, pelakon dan pengacara, Karl Shafek, 35, memberitahu menerima banyak respon daripada pengguna laman sosial tersebut.

 

Malah, apa yang lebih panas apabila dalam kalangan pengikut Fynn turut memberi reaksi seakan kurang senang dengan pertanyaan tersebut lantas melemparkan kritikan terhadap hos program Aroma Tradisi itu.

 

Karl yang ditemui pada sidang media Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck berkata, dia dia tidak berniat mencari publisiti mahupun memburuk-burukkan Fynn.

 

Meletakkan dirinya sebagai pendengar biasa, dia terdetik mengajukan pertanyaan itu kerana persoalan tersebut tergiang-ngiang di fikirannyaa sejurus selepas dia mendengar lagu penyanyi berkenaan yang diputarkan di radio.

 

“Sejujurnya ia satu satu pertanyaan daripada saya seorang pendengar biasa. Saya dengar lagu nyanyian Fynn di radio semalam (Isnin), kemudian persoalan yang timbul tergiang-ngiang dalam kepala saya.

 

“Ketika itu, apa yang saya mahu hanyalah jawapan kepada persoalan saya.Jadi saya ‘tweet’ sekadar bertanya. Saya tak fikir pun akan akibat pertanyaan saya itu.

 

“Mungkin juga kerana saya artis, maka ‘tweet’ saya itu seperti diperbesarkan sedangkan jika bukan artis yang ‘tweet’, mungkin ia tidak memberi apa-apa kesan,” katanya ketika ditemui di Istana Budaya, semalam.

 

Jelasnya, selama ini dia tidak mengenali secara peribadi penyanyi tersebut dan tidak menyangka bahawa Fynn sebenarnya mempunyai ramai peminat.

 

Namun, sejurus dia menerima banyak respon berbaur negatif itu, dia mula mencari lagu-lagu Fynn di YouTube dan mengakui mengagumi bakat wanita itu.

 

Sekaligus Karl juga berharap Fynn tidak terasa hati dan dapat menerima secara positif akan pertanyaannya itu.

 

“Saya tidak kenal Fynn secara peribadi. Malah, saya baru tahu sebenarnya bukan saya seorang yang mempersoalkan gaya nyanyianya sebab saya difahamkan sebelum ini ada juga pihak yang mengajukan persoalan sama seperti saya.

 

“Jadi, dalam pada ramai yang kritik, ada ramai juga yang menyokong saya.

 

“Semalam, saya ada tengok YouTube dan cari lagu-lagunya. Dia berbakat serta lagu-lagunya mempunyai maksud yang cukup mendalam dan sedap didengar.

 

“Saya harap dia tidak terasa hati dan menerima pertanyaan itu secara positif. Pertanyaan itu bukan hendak menghentam atau memburuk-burukkan dirinya,” katanya.

 

Sementara itu, berkongsi penglibatannya menerusi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Karl menyatakan dia terkejut dan dalam masa sama teruja saat ditawarkan menggalas peranan sebagai Azis.

 

Watak tersebut menuntutnya mempotretkan seorang lelaki dan suami yang bersifat mempunyai ego tinggi, pentingkan diri sendiri, boros dan mahu mendapatkan apa saja yang diinginkan

 

Menyifatkan tawaran itu sebagai rezeki, Karl berharap tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa dia tidak layak menjadi sebahagian daripada barisan pelakon naskah nukilan ulama terkenal Nusantara, Allahyarham Prof Hamka ini berubah selepas mereka sendiri datang menontonnya di Panggung Sari mulai 12 sehingga 18 Oktober ini.

 

“Saya terkejut saat ditawarkan tapi saya sahut cabaran ini. Lagipun saya memang menyimpan impian mahu menjayakan naskah ini.

 

“Kalau hendak tahu, saya sanggup terbang dari Kuala Lumpur ke Bali, Indonesia semata-mata mahu menonton filem ini ketika ia dilancarkan di sana dua tahun lalu.

 

“Mengenai watak Azis, saya sedar mungkin ada yang membandingkan saya dengan lakonan Reza Rahadian (menerusi filem).

 

“Bagi saya, itu interpretasi Reza terhadap watak Azis itu dan saya pula berbeza. Cuma, persamaan yang akan penonton nampak ialah dari segi pemakaian kami.

 

“Saya terima tawaran ini dan anggap ini rezeki serta tanggungjawab. Mungkin pemilihan saya kerana penerbit nampak bakat ataupun pengalaman saya dalam teater,” katanya yang sebelum ini pernah menjayakan Teater Projek Kahwin yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.