Erma Fatima Batal Hasrat Untuk Bercerai

Kuala Lumpur – Pelakon dan pengarah wanita popular, Erma Fatima, 47, mengakui bahawa dia tidak akan bercerai dengan suaminya yang juga seorang pengarah terkenal, Badaruddin Haji Azmi atau Bade, 51, yang dikahwininya sejak 25 tahun lalu.

 

Biarpun sudah memfailkan kes cerai terhadap Bade sejak Mei lalu dan sudah dua kali prosiding mahkamah sudah dijalankan, namun kata Erma, selepas mengambil kira banyak faktor termasuk perbincangan bersama suaminya, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan perceraian itu dan Erma sendiri menarik balik permohonan itu.

 

Apatah lagi, sebelum ini Bade juga sememangnya tidak mahu menceraikan Erma dengan alasan tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana masih sayangkan perkahwinan mereka yang dibina sejak tahun 1990.

 

“Saya dan Bade berbincang mengenai perkara ini lebih kurang tiga minggu yang lalu untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini. Jujurnya, saya juga masih sayangkan Bade dan mana mungkin ikatan cinta yang terbina hampir 30 tahun antara kami mampu terputus begitu sahaja.

 

“Dalam masa yang sama, saya sendiri melihat kesungguhan Bade dalam usahanya untuk menyelamatkan perkahwinan kami ini dan disebabkan itu, selepas berbincang dari hati ke hati bersamanya, saya dan Bade memutuskan untuk tidak bercerai.

 

“Namun, saya ada meletakkan beberapa syarat kepadanya yang tidak boleh saya kongsikan di sini secara umum agar kami dapat terus memelihara kerukunan serta keharmonian rumah tangga kami.

 

“Ternyata Bade menerimanya dengan terbuka dan faham dengan syarat tersebut,” jelas Erma tanpa selindung sewaktu ditemui pada sidang akhbar Konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Ku Cinta yang berlangsung di Bukit Kiara, di sini, semalam.

 

Sememangnya berita tentang Erma memfailkan cerai terhadap Bade sangat mengejutkan memandangkan pasangan selebriti itu antara yang sering menjadi contoh apabila mampu mengekalkan perkahwinan mereka dalam tempoh yang lama.

 

Bahkan, Erma yang juga bekas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali itu juga mendapat perhatian dan sikapnya dipuji ramai apabila begitu terbuka serta merestui perkahwinan kedua Bade.

 

Menyambung bicaranya, pemilik nama lengkap Fatimah Rahmad ini juga dengan terbuka mengakui sebagai seorang isteri, ada kalanya dia terlalu alpa dan terlupa akan tanggungjawabnya itu kerana begitu sibuk bekerja.

 

Pun begitu jelas aktres yang pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM menerusi filem Femina (1994) dan Hati Bukan Kristal (1990) itu lagi, dia sangat bersyukur kerana memiliki suami sehebat Bade yang begitu memahami dirinya selain tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

 

“Percaya atau tidak, sejak saya memfailkan cerai terhadapnya, hubungan kami sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah. Malah, kami tidak bergaduh dan seperti mana yang masyarakat dapat lihat menerusi gambar-gambar di laman sosial, itulah sebenarnya hubungan kami.

 

“Cuma, saya enggan dan lebih selesa untuk tidak mendedahkan punca sebenar mengapa saya bertindak untuk berbuat demikian (fail cerai) kerana tidak mahu merumitkan keadaan selain menghormati Bade sebagai suami saya,” ujarnya yang turut berkongsi cerita dengan pihak media secara off the record dalam menerangkan hal yang sebenar di sebalik masalah tersebut.

 

Biarpun perkahwinan mereka tidak dikurniakan dengan zuriat sendiri, tetapi kata Erma, dia dan Bade adalah ibu bapa yang paling bertuah kerana memiliki lima orang anak angkat yang cukup memahami dan matang.

 

Bahkan kata pengarah filem Embun dan Jimi Asmara ini, salah satu faktor yang terus mengukuhkan dan mengeratkan hubungannya dengan Bade adalah anak-anak mereka yang mahu melihat dia dan Bade terus hidup dalam harmoni.

 

“Mereka menentang sekeras-kerasnya perceraian itu dan tidak mahu ia berlaku. Anak-anak kami sendiri yang duduk berbincang dengan saya dan Bade dalam situasi yang berbeza dan meluahkan perasan bahawa mereka enggan melihat kami bercerai.

 

“Kesungguhan dan kasih sayang mereka terhadap kami juga membuatkan saya dan Bade perlu meneruskan perkahwinan ini kerana kasih sayang kami sememangnya masih utuh,” kata Erma yang juga pernah mengarahkan teater Natrah di Istana Budaya, beberapa tahun lalu.

 

Sepanjang perkahwinan mereka, Bade dan Erma telah mengambil dan memelihara lima orang anak angkat iaitu Mohd. Shamiel E’quan, 23; Ahmad Arir, 21; Ahmad Aifin, 20; Citra, 14; dan Nurain, 11.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.