Bajet 2016: Kerajaan Ambil Kira Pandangan Rakyat

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia memberi tumpuan terhadap tiga aspek yang menjadi perhatian rakyat dalam pelaksanaan Bajet 2016 iaitu kos sara hidup, perumahan dan kehidupan di bandar serta pendidikan.

 

Perdana Menteri memberitahu, kaji selidik Bajet 2016 yang dijalankan melalui laman blog NajibRazak.com baru-baru ini mendapati ketiga-tiga aspek tersebut dianggap paling penting oleh rakyat.

 

“Di pejabatnya semalam, sekembalinya dari luar negara, saya lihat carta keputusan kaji selidik Bajet 2016‬ menunjukkan bahawa tiga topik paling penting kepada rakyat ialah Kos Sara Hidup, Perumahan dan Kehidupan di Bandar serta Pendidikan.

 

“Kerajaan menerima baik maklum balas ini dan akan menilai serta sedia memberi tumpuan kepada kategori-kategori tersebut dalam Bajet 2016,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau malam tadi.

 

Laporan kaji selidik Bajet 2016 yang dijalankan mulai 1 September hingga 1 Oktober lalu menunjukkan kategori Kos Sara Hidup menduduki tempat teratas dengan 10,183 mata diikuti Perumahan dan Kehidupan di Bandar (4,167 mata) dan Pendidikan (2,821 mata).

 

Kaji selidik berkenaan dilakukan bagi mendapatkan pandangan orang ramai tentang 15 kategori yang akan diberi perhatian oleh kerajaan dalam merancang Bajet 2016. Perdana Menteri bakal membentangkan Bajet 2016 di Parlimen pada 23 Oktober ini.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, Bajet 2016 akan mesra rakyat dan lebih besar berbanding sebelum ini dalam usaha membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi inflasi dan peningkatan kos sara hidup.

 

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut langkah-langkah yang mungkin dirangkum dalam bajet yang akan dibentang oleh Perdana Menteri itu.

 

Ditanya sama ada bajet turut merangkumi insentif untuk menggalakkan perumahan mampu milik, beliau berkata, ia adalah langkah berterusan memandangkan rancangan membina lebih banyak rumah mampu milik merupakan sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN).

 

“Kementerian akan terus meneliti bagaimana dapat membantu atau menggalakkan perumahan mampu milik kerana kami sedar permintaan untuk perumahan jenis itu adalah tinggi.

 

“Bagaimanapun semua perlu diimbangi berdasarkan keadaan fiskal kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MPKM) dan Segi University, di sini semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.