Amar Baharin Tolak 10 Drama Untuk 1 Teater

Pelakon Amar Baharin tidak tertekan dengan kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan pemilihanya sebagai teraju utama Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 12 sehingga 18 Oktober ini.

 

Menurut Amar, saat ditawarkan watak Zainuddin, dia memberanikan diri menyahut cabaran tersebut meskipun sebelum ini dia tiada pengalaman berlakon di pentas teater.

 

“Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Saya sedar naskah ini satu naskah yang besar.

 

“Bagi saya, saya akan berikan lakonan yang terbaik. Apa yang penonton akan lihat ialah Zainuddin versi Amar Baharin di pentas teater Malaysia.

 

“Apa saja orang nak cakap, kalau mereka beli tiket dan tonton teater ini kemudian mereka kritik atau komen lakonan saya sama ada baik atau buruk, saya terima.

 

“Tetapi jika hentam saya sebelum mereka menonton teater ini, saya tak peduli.

 

“Sejak saya setuju untuk menjayakan teater ini, awal-awal lagi saya tolak semua kata-kata atau tanggapan negatif terhadap saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

 

Selain Amar, teater arahan Mohamad Azhar Zainal ini turut dibarisi pelakon seperti Nabila Huda, Sharul Ridzuan, Amyra Rosli dan Karl Syafiq.

 

Dalam pada itu, Amar memberitahu, dek kerana mahu memberikan sepenuh komitmen terhadap teater yang diadaptasi daripada naskah ulama terkenal Nusantara, Allahyarham Profesor Hamka ini, dia terpaksa menolak banyak tawaran drama.

 

“Saya sanggup tolak lebih kurang 10 tawaran drama kerana mahu betul-betul memberi tumpuan kepada sesi latihan.

 

“Sebenarnya, pihak produksi benarkan jika saya mahu ambil ‘job’ lain tetapi sepanjang mahu menjayakan teater ini, saya sendiri yang memilih untuk tidak terikat dengan komitmen lain kerana mahu betul-betul fokus.

 

“Ini pertama kali saya berlakon teater, banyak benda baru yang saya belajar sepanjang latihan. Saya akui, bukan mudah untuk berada di pentas teater kerana cara lakonannya jauh berbeza dengan lakonan drama.

 

“Tapi saya sahut cabaran ini. Saya ikut semua panduan yang diberikan oleh pengarah dari segi pertuturan, lontaran dialog, gerak tubuh dan apa saja kelemahan saya cuba perbaiki setiap hari ketika sesi latihan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.