Yahudi Dan Kristian Akan Jatuhkan Kerajaan Jika Kerajaan Hapus Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini mempertikaikan gesaan pihak tertentu yang mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana ia mampu meruntuhkan kerajaan melalui campur tangan Kristian dan Yahudi.

Presiden Isma Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, jika akta itu dimansuhkan, Malaysia akan berdepan liberalisasi tanpa sempadan selain perkara yang terkandung dalam Perlembagaan akan dipertikaikan.

“Jika berlaku penghapusan semua undang-undang ini secara pakej dalam negara kita, maknanya kita akan melihat satu bentuk liberalisasi yang begitu luas tanpa sempadan dan akhirnya ia juga boleh mendedahkan negara kepada campur tangan luar.

“Golongan kapitalis Yahudi dan Kristian boleh menentukan dan mempengaruhi dasar negara dan menentukan polisi negara mengikut kehendak mereka.

“Mereka juga boleh menjatuhkan kerajaan dan menaikkan kerajaan yang memihak kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Palimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dalam Dewan Rakyat hari ini menggesa polis menahan individu yang menentang akta itu dan mendakwa golongan terbabit mempunyai ‘niat jahat’.

Bagaimanapun, Ketua Biro Guaman PKR Latheefa Koya menerusi laman sosial Twitter mengugut mahu “menghapuskan” Bung kerana menyokong Akta Hasutan.

Bung memberi tempoh 24 jam kepada Latheefa menjelaskan kenyataan dan memohon maaf sebelum bertindak membuat laporan laporan polis kerana mengugutnya.

Abdullah berkata, Akta Hasutan tidak seharusnya dipersalahkan kerana ia kelihatan buruk ekoran mereka yang melaksanakannya.

Katanya, walaupun Turki mengamalkan undang-undang sekular namun pemerintahnya yang soleh dan berjiwa besar membawa kebaikan kepada negara itu.

“Undang-undang yang baik jika dikendalikan orang yang jahat, boleh menjadi tidak baik, tetapi jika undang-undang yang tidak baik dikendalikan orang yang baik, boleh membawa kepada kebaikan.

“Rakyat Turki boleh mengembangkan anutan agama Islam lebih baik daripada sebelum ini, berbanding zaman pemerintahan yang lalu walaupun undang-undang dan Perlembagaannya sama,” katanya.

Beliau berkata, Akta Hasutan adalah undang-undang buatan manusia untuk kepentingan umum yang tidak boleh dilaksanakan dengan sangkaan atau dalam bentuk impak yang dijangka tetapi mestilah disandarkan kepada sesuatu yang pasti.

Katanya, disebabkan ia undang-undang buatan manusia, maka undang-undang dan pelaksanaannya boleh dinilai dari semasa ke semasa, boleh diubah atau dihapuskan tetapi adakah ia sesuai untuk dihapuskan.

“Daripada segi implikasi, penghapusan akta ini akan membenarkan pihak tertentu memperdebatkan isu teras dan muktamad yang tidak boleh dicabar selama ini. Contohnya Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan institusi raja, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta soal berkaitan bahasa Melayu.

“Semua itu boleh dibahas, dimansuh, diperdebatkan, dicadangkan, dimansuhkan dan sebagainya. Jadi ia memberi implikasi yang berat dan besar berkaitan kontrak sosial dan struktur masa depan negara,” katanya.

Abdullah berkata, isu sebenar yang sedang dihadapi adalah soal penyalahgunaan akta, penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan politik pihak tertentu atau sering disebut seperti dakwaan terpilih.

Katanya, dalam isu salah guna kuasa, yang perlu dikawal ialah sudut pelaksanaan, bukan menghapuskan akta itu secara total.

“Isma bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak untuk menambah baik akta tersebut yang boleh menjamin masa depan negara lebih baik iaitu memasukkan satu peruntukan yang mempertahankan kedaulatan dan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan supaya ia tidak boleh dicabar.

“Kalau pun ada usaha untuk membaikinya, hendaklah menjurus ke arah tidak berlakunya salah guna kuasa, pendakwaan terpilih dan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang Islam, syariat dan undang-undang yang sedia ada itu sendiri. Itulah yang kita rasa perlu lakukan dan relevan untuk dianjurkan,” katanya.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/yahudi-kristian-jatuhkan-kerajaan-jika-akta-hasutan-dimansuh-kata-isma#sthash.d5nvwwbQ.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.