Tindakan Selangor Lulus ‘Pesta Arak’ Dikecam Hebat

Kuala Lumpur – Beberapa akhbar arus perdana berbahasa Melayu di tajuk muka hadapan mengecam tindakan kerajaan Selangor meluluskan penganjuran pesta arak Oktoberfest secara besar-besaran tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam menyambut bulan Oktober dengan ibadat Haji dan Korban.

Menyifatkan tindakan kerajaan negeri membenarkan promosi pesta anjuran syarikat gergasi pengeluar minuman keras Carlsberg Malaysia sebagai biadap, badan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar pesta itu segera dibatalkan.

Mereka turut mencabar menteri besar Selangor yang baru dilantik, Mohamed Azmin Ali, membuktikan kepimpinannya menangani isu itu bagi memulihara dan menjunjung Islam selaku agama rasmi negara.

Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS) Rosdi Long dalam laporan Kosmo membidas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membenarkan penganjur mempromosikan Oktoberfest melalui papan iklan di Seksyen U2 sedangkan majoriti penduduk kawasan adalah orang Islam.

“Apa yang menyedihkan dan boleh dianggap biadap, pesta itu diadakan pada bulan Zulhijjah iaitu ketika umat Islam melaksanakan ibadah haji dan korban.

“Kita tidak ada masalah dengan program itu tetapi biarlah ia diadakan mengikut adab dan menghormati sensitiviti masyarakat yang majoritinya beragama Islam,” katanya seperti dilaporkan akhbar Kosmo hari ini.

Pakar Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Noor Aziah Mohd Awal dilaporkan berkata, pesta arak tidak boleh dianjurkan di tempat terbuka melainkan premis berlesen menjual arak.

“Penganjur perlu memohon permit mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika mereka mahu meneruskan perhimpunan ini di tempat terbuka.

“Bagaimanapun bagi kes ini, biasanya permit tidak akan dikeluarkan kerana ia melanggar Perlembagaan,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

Manakala Pemangku Timbalan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad pula dilaporkan Berita Harian kecewa dengan tindakan Selangor membenarkan pesta itu.

Mahfodz mendesak agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan kerajaan negeri mengambil tindakan kerana dianggap menghina agama rasmi negara.

“Pesta itu perlu dibatalkan kerana ia ibarat barah yang merebak jika tidak dibendung,” katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas pentadbiran Azmin yang didakwanya tidak peka dengan isu semasa dan hanya mahu mencari isu kesalahan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu, iklan-iklan seperti ini tidak dibenarkan, sekarang ini iklan-iklan ini dilihat berdiri megah di sekitar Shah Alam.

“Bagaimana perkara ini boleh dibenarkan… Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin (Ali) sepatutnya peka dengan apa yang berlaku depan mata, jangan asyik cari kesalahan menteri besar (Selangor) sebelum ini sahaja,” katanya dipetik Bernama.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan kewujudan papan iklan terbabit di kawasannya sambil mempertahankan Oktoberfest perlu dibenarkan dengan syarat ketat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Time Square Hotel, manakala kemuncaknya pada 10 hingga 12 Oktober di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.