Tiada Kompromi Dalam Isu Kebocoran Soalan UPSR – Idris Jusoh

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terlibat dan bertanggungjawab dalam isu kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai kementerian, sekiranya mereka terlibat dan disabitkan bersalah oleh pihak berkuasa mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau berkata pihak kementerian telah membuat dua laporan polis supaya siasatan menyeluruh dilakukan dengan serta-merta.

“Kementerian yakin pihak berkuasa akan dapat merungkai bagaimana dan punca berlakunya kebocoran kertas peperiksaan UPSR tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya.

Idris berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kementerian akan mendedahkan kepada umum bagaimana empat kertas peperiksaan UPSR 2014 boleh bocor.

Idris berkata kementerian juga telah mengambil langkah drastik dan serta-merta melalui penubuhan satu Jawatankuasa Bebas untuk mengenal pasti kelemahan dan ruang-ruang ketirisan pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, katanya kementerian sedang melaksanakan rombakan dan penempatan pegawai-pegawai bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam, serta mengetatkan semua aspek keselamatan di setiap peringkat pengurusan peperiksaan awam.

“Kementerian sedang melengkapkan lagi pemasangan kamera litar tertutup di semua bilik kebal seluruh negara sebagai langkah penambahbaikan pemantauan dan keselamatan bahan peperiksaan.

“Di samping taklimat keselamatan mengenai pengurusan dan pengendalian bahan peperiksaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin integriti semua pihak terlibat di tahap terbaik,” katanya.

Kebocoran kertas peperiksaan itu melibatkan mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil. Peperiksaan semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris diadakan pada 30 Sept lepas manakala kertas Matematik dan Bahasa Tamil akan diadakan 9 Okt ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.