Saya Jangka Bajet Kali Ini Untuk Rakyat, Beri Perhatian Kawasan Luar Bandar – Bung

Sandakan – Pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini dijangka memberi fokus terhadap pembangunan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin juga optimis Bajet 2015 akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat khususnya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya menjangkakan bajet kali ini adalah untuk rakyat di samping akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan ekonomi negara.

“Kita juga percaya Perdana Menteri akan memberi perhatian yang lebih dalam membangunkan kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Felcra berkata pembangunan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya di kawasan luar bandar perlu diambil perhatian kerana banyak kawasan khususnya di Sabah yang masih memerlukan pembangunan asas berkenaan.

Beliau memberi contoh di Kinabatangan sahaja, masih banyak kampung yang belum ada bekalan air bersih, jalan raya dan bekalan elektrik.

“Pembangunan asas ini masih perlu ditumpukan demi keselesaan rakyat di kawasan luar bandar dan dapat menikmati pembangunan seimbang,” katanya.

Menurutnya pembangunan sekolah luar bandar juga perlu dipertingkatkan dalam memastikan keseimbangan jurang pendidikan luar bandar dan bandar dapat diselarikan.

Pembangunan luar bandar amat penting dalam memastikan ekonomi rakyat dapat ditingkatkan, katanya.

Bung Moktar berkata perdana menteri dijangka memberi perhatian soal keselamatan terutamanya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya penambahan aset dan kemudahan pasukan keselamatan diperlukan bagi memastikan keselamatan rakyat di kawasan itu lebih terjamin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.