PRTM3 Imbau Perjalanan Hidup Tiga Wanita Penting Dalam Hidup P Ramlee

Kuala Lumpur – Pementasan P Ramlee The Musical musim ketiga (PRTM3) di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur sejak 3 Oktober lalu berjaya mengimbau perjalanan seni dan tiga wanita yang memainkan peranan penting dalam hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Tiga wanita yang pernah menjadi pasangan hidup Seniman Agung itu dan berkongsi suka duka dengannya ialah isteri pertamanya, Junaidah, Norizan (isteri kedua) dan Saloma (isteri ketiga).

Pementasan arahan Pat Ibrahim yang juga diberi kepercayaan sebagai koreografer ini menampil­kan lakonan mantap barisan pelakon seperti Tony Eusoff sebagai P Ramlee, Datin Seri Tiara Jacquelina (Norizan), Lisa Surihani (Junaidah) dan Nadia Aqilah Bajuri (Saloma).

Secara peribadi, Nadia, 29, yang berpengalaman di pentas teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang sejak 2005 mengakui cabaran besar dihadapi untuk menjiwai watak Biduanita Negara Puan Sri Saloma itu.

“Bukan saja terpaksa tidur dengan korset bagi mendapat­kan pinggang 21 inci seperti kerengga, saya turut dicabar dari segi nyanyian untuk mendapatkan tone suara Saloma yang besar, merdu dan seksi.

“Antara rangkaian lagu popular Saloma yang disampaikan dalam muzikal ini ialah Istana Cinta, Gelora dan Pukullah Canang termasuk duet dengan Tony.

“Mujurlah, pengalaman membawakan watak Azizah dan Junaidah pada pementasan PRTM sebelum ini banyak membantu saya menjiwai watak Saloma sebaik mungkin,” katanya.

Apapun, kata Nadia, dia menganggap watak Saloma yang dilakonkan dalam PRTM3 adalah kemuncak dalam pencapaian karier seninya.

“Saya anggap tawaran bawa watak Saloma adalah penghargaan dalam karier seni.

“Sebagai pelakon, saya sudah buat yang terbaik dan bersedia jika dibandingkan dengan pelakon yang pernah bawa watak Saloma sebelum ini iaitu Liza Hanim dan Elly Maz­lein,” katanya.

Bagi Lisa pula, ia julung kalinya dia terbabit de­ngan pementasan muzikal PRTM berkenaan.

“Saya anggap tawaran bawa watak Junaidah adalah penghormatan yang besar dalam karier seni.

“Saya turut berdepan cabaran besar bawa watak Junaidah kerana tidak banyak rujukan mengenai dirinya.

“Junaidah yang juga anak D’Harris adalah seorang penari ketika bertemu dan menjadi isteri pertama P Ramlee,” katanya.

Paling mencabar, kata Lisa, dia perlu menyanyi untuk bawa watak Junaidah sedangkan dirinya seorang pelakon.

“Namun, hasil kerja keras dan latihan intensif serta bimbingan dari pengarah, saya berusaha berikan yang terbaik untuk watak Junaidah,” katanya.

Secara keseluruhannya persembahan pada malam itu cukup mantap dan semua pelakon menjiwai watak masing-masing.

Pujian harus diberikan buat empat pelakon utamanya iaitu Tony, Tiara, Lisa dan Nadia kerana mempamerkan lakonan mantap.

Selain itu, produksi PRTM3 juga berjaya me­ngagumkan penonton dengan penataan cahaya yang menarik selain props hebat seperti stesen kereta api Bukit Mertajam dan Studio Jalan Ampas di Si­ngapura.

Penonton yang memenuhi Istana Budaya turut terhibur dengan rangkaian lagu popular P Ramlee dan Saloma yang disampaikan pada malam itu.

Paling menarik, Tony, Nadia dan Lisa menyanyikan lagu berkenaan secara ‘live’ dan bukannya ‘miming’.

Pada malam itu, barisan pelakon dan kru produksi turut meraikan sambutan hari lahir Tiara yang juga Penerbit Eksekutif muzikal ini.

Hadir sama, Ketua Pe­ngarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaa­rani.

P Ramlee The Musical tampilkan 14 persembahan

Pementasan PRTM3 terbitan Enfiniti Vision Media ini membabitkan 14 per­sembahan secara keseluruhannya.

Barisan pelakon yang turut memantapkan pementasan kali ini ialah Douglas Lim (Run Run Shaw), JJ Red FM (B.S. Rajhans), Reuben Kang (Run Me Shaw), Datuk Aznil Nawawi (D’Harris), Iedil Putra (Sukardi), Fairuz Fee Tauhid, Fitri Iswady dan Wadi Ridhuwan (Paparaz­zi) serta barisan ensemble.

Muzikal hebat ini memaparkan kisah hidup P Ramlee yang mengabdikan hidupnya dengan berkecimpung dalam bidang seni sejak remaja lagi.

Bermula di Pulau Pinang menerusi lagu ciptaan­nya Azizah, ia mula membuka mata B S Rajhans dan Shaw Brothers untuk menawarkannya menjadi artis rakaman suara (playback singer) di Studio Jalan Ampas, Singapura.

Penghijrahan beliau ke sana turut membuka lembaran hidup baru untuknya menceburi bidang perfileman secara langsung.

Perjalanan kariernya di Singapura meletakkannya sebagai seniman serba boleh iaitu penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, pelakon, penulis skrip, pengarah filem, penghibur serta seniman teragung di rantau ini.

P Ramlee The Musical musim ketiga mula dipentaskan sejak 3 Oktober lalu hingga 12 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.