Pimpinan PAS Saling Bertelagah Dalam Isu Pesta Octoberfest Carlsberg

Kuala Lumpur – Semua pihak diseru bangkit menentang penganjuran pesta Octoberfest Carlsberg yang akan berakhir pada 12 Oktober ini kerana kemungkaran mesti dicegah, kata anggota parlimen PAS Nasrudin Hassan.

Katanya, cegahan itu harus dilakukan kerajaan pusat, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pihak berkuasa agama di semua peringkat kerana bala Allah apabila turun akan mengenai semua pihak.

“Jangan hanya memberi alasan kononnya perkara ini berada di luar bidang kuasa sedang akibatnya kelak akan melanda umat tanpa mengenal di mana kuasa dan kedudukan mereka.

“Bangkitlah sebelum terlewat,” kata wakil rakyat Temerloh itu.

Beliau membangkitkan sebuah hadis Ali bin Abi Thalib yang antaranya mengebut, balasan Allah akan turun apabila arak sudah diminum secara berleluasa.

Menulis di Facebook beliau hari ini, Nasrudin berkata, walaupun arak boleh diminum oleh penganut agama yang membenarkannya, ia tidak harus dilakukan secara terbuka dan dipromosi besar-besaran.

“Pesta arak yang dipromosi besar-besaran ini telah menjadi mungkar terbuka meskipun ia dilakukan dalam ruang bangunan tertutup. Sekali gus ia mencabar sensitivit umat Islam.

Katanya, ia sama seperti hubungan seks luar nikah (pelacuran) yang dipromosi kepada umum dan wajib ke atas pihak berkuasa dan seluruh umat Islam bangkit mencegahnya.

“Jangan biarkan negara membangun dengan budaya mungkar dan maksiat. Kelak binasa tamadun dan maruah pula hilang keberkatan justeru dimurkai Allah SWT,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen PAS Khalid Samad hari ini mempertahankan kenyataannya yang sambutan festival arak Oktoberfest boleh dibenarkan di negara ini, tetapi dengan syarat sensitiviti dan hak masyarakat Islam perlu dilindungi.

Wakil rakyat Shah Alam itu berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan utama dengan mengenakan syarat dan kawalan ketat terhadap penganjur yang juga syarikat pengeluar produk minuman keras, Carlsberg Malaysia.

Antaranya, dengan melarang penganjurannya di kawasan penduduk majoriti beragama Islam, melarang pengiklanan secara terbuka di papan iklan dan Facebook serta menghadkan penyertaannya kepada bukan Islam sahaja.

“PBT perlu menguruskannya dengan baik. Nak perkenalkan arak atau pesta perlu dibuat di kawasan yang majoritinya bukan Islam, jangan buat di Shah Alam contohnya, jangan iklan merata-rata dan jangan panggil orang Islam hadir.

“Jika semua ini dipatuhi untuk masyarakat Islam, saya rasa tidak ada masalah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu sebelum ini yang membenarkan Oktoberfest atas alasan negara majmuk menimbulkan reaksi negatif apabila dikatakan tidak memahami konsep Islam sebagai agama Persekutuan.

Namun Khalid menegaskan, Islam sebagai agama global juga mengajar umatnya cara untuk berurusan dengan bukan Islam memandangkan penggunaan minuman dan makanan beralkohol dibenarkan dalam ajaran agama lain.

Jelasnya, tidak ada halangan bagi bukan Islam makan dan minum sesuatu yang dihalalkan mengikut kepercayaan agama masing-masing, cuma pelaksanaannya perlu mengambil kira suasana dan realiti masyarakat.

“Kalau ambil pendekatan ‘ini negara Islam agama rasmi’ maka akhirnya bukan Islam tidak nampak keadilan dalam Islam.

“Sebaliknya mereka nampak seolah-olah terpaksa tunduk dan akur kehendak Islam.”

Katanya, sehingga kini masih wujud perbahasan antara ulama mengenai isu pengambilan hasil cukai arak oleh kerajaan.

Ada mazhab yang membenarkan hasil cukai melalui keuntungan jualan arak digunakan untuk rakyat dengan membina kemudahan awam, tetapi ada juga yang mengasingkannya untuk kegunaan rakyat beragama Islam dengan bukan Islam.

“Di Malaysia, kita tidak ada sistem pengasingan itu. Tetapi di Kelantan, cukai arak tidak dicampur dalam cukai yang bersih.

“Menjadi amalan pentadbiran Kelantan mengasingkan cukai lesen jualan arak dan memasukkannya dalam tabung yang berasingan,” katanya.

Mengulas dakwaan Pengerusi Umno Datuk Seri Noh Omar terhadap iklan Oktoberfest yang dipasang disekitar kawasan Shah Alam, Khalid menafikannya dan menganggap dakwaan itu sebagai palsu.

Oktoberfest bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Times Square.

Kemuncak pesta akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.