Korban Dua Beradik Di Kota Tinggi

Kota Tinggi – Dua maut manakala satu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 66, Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi berhampiran simpang masuk Kampung Minchu dekat sini, petang semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu meragut nyawa mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Kelisa, Muhamad Hazim Hazri, 18, dan adiknya Muhammad Farish Hazri, 14.

Mereka meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Sementara seorang lagi adik mangsa, Fitri Hakim Hazri, 11, yang duduk di bahagian belakang mengalami cedera parah manakala pemandu dan seorang lagi penumpang hadapan kenderaan jenis Naza Ria itu hanya mengalami cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, DSP Low Hong Seng berkata ketiga-tiga beradik terbabit dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan jenis Naza Ria yang datang dari arah bertentangan.

“Dua daripada tiga beradik terbabit meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HKT manakala seorang lagi masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Jenazah kedua beradik itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Kesihatan HKT untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi di sini, pagi tadi.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/10/06/korban-dua-beradik-di-kota-tinggi/#ixzz3FO1Z7Qev

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.