Kerajaan Kutuk Keganasan ISIL

Kula Lumpur – Hamzah Zainuddin berkata bahawa kerajaan tidak mengiktiraf pembentukan kumpulan ISIL atau mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan keganasan serta mengutuk keganasan yang dilakukan kumpulan terbabit. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang yang meminta pihak kerajaan supaya menyatakan pendirian Malaysia terhadap pembentukan wilayah pemerintahan dibawah ISIL.

Jelasnya lagi, ia selaras dengan pendirian kerajaan Malaysia yang menyokong penuh Resolusi 2170 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menentang sebarang bentuk sokongan dan bantuan ke atas kumpulan militan tersebut.

“Ini diperkukuhkan lagi dengan Resolusi 2178 yang menekankan usaha untuk mengukuhkan dan menggembeling tindakan antarabangsa untuk memerangi keganasan secara amnya dan khususnya memerangi pengganas antarabangsa,” jelas Hamzah.

Tambah Hamzah, kerajaan yakin dan percaya isu keganasan oleh kumpulan tersebut perlu ditangani secara komprehensif dan tidak semestinya dengan tindakan ketenteraan semata-mata.

“Mekanisme penyelesaian boleh diambil oleh badan bertindak antarabangsa, melalui kerangka yang diambil oleh PBB dalam menangani isu keganasan, dalam hal ini kerajaan berpandangan bahawa tindakan ketenteraan ke atas pengganas IS (Islamic State) seharusnya tidak mengakibatkan orang awam terkorban,” katanya.

Jelasnya lagi, pendirian Malaysia tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 27 September lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.