ESSCom Nafi Keluarkan Kenyataan Berkaitan Tsunami

Lahad Datu – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai kemungkinan tsunami akan berlaku di pantai timur Sabah dalam tempoh 36 jam.

Ketua Komunikasi Korporat ESSCom, Newmond Tibin berkata ESSCom menafikan pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan media bagi pihak Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Sabah berhubung keadaan cuaca di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Sebarang kenyataan media rasmi ESSCom hanya dikeluarkan melalui Unit Komunikasi Korporat atau portal ESSCom Times di alamat www.esscom.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di Lahad Datu, Selasa.

Newmond berkata demikian sebagai mengulas penyebaran khabar angin melalui media sosial kononnya kemungkinan berlaku tsunami itu diterima daripada ESSCom yang memperoleh maklumat itu daripada Jabatan Meteorologi Malaysia cawangan Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Sabah, khususnya di ESSZone, supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar angin itu dan sentiasa mengikuti maklumat terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

ESSZone merangkumi 10 daerah meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.