Bermula Sebagai Penyanyi, Azza Lebih Menyerlah Sebagai Pelakon Dan Kurang Minat Menyanyi

Petaling Jaya – Memulakan langkahnya dalam program pencarian bakat sebagai penyanyi di Akademi Fantasia (AF)musim pertama sedekad lalu, kini Azza Suaymi, 32, mampu tersenyum puas.

Meskipun dia adalah ‘mangsa’ pertama yang tersingkir dalam program itu, ia tidak bermakna dirinya tiada bakat dalam bidang seni.

Azza yang mungkin kurang menyerlah dalam bidang nyanyian, tetapi mantap sebagai pelakon.

Hingga kini, dia masih aktif dalam lakonan dan sekali gus sudah mampu membina jenama namanya sendiri tanpa bayangan AF1 lagi.

Azza yang puas dengan perjalanan kariernya berkata, dia tidak mengejar populariti.

“Saya sudah berpuas hati dengan perkembangan karier lakonan yang masih bertahan hingga kini. Apatah lagi, dalam soal pemilihan watak saya juga tidak bersikap cerewet atau hanya memberi tumpuan sebagai heroin saja.

“Sebagai pelakon, saya sentiasa bersikap terbuka dalam karakter yang diperoleh dan tidak kisahlah apa wataknya. Asalkan tidak terikat pada sesuatu watak, saya juga sedia menerima tawaran watak seorang ibu.

“Ia berlaku dalam drama terbaru saya, Aku Tak Rela sebanyak 20 episod yang akan mengisi slot Azalea di TV3. Menerusi drama itu, watak saya sebagai Nur Azira iaitu seorang ibu yang agak berusia,” katanya.

Menurut Azza, selain drama berkenaan dia juga mendapat tawaran membintangi satu lagi drama Cahaya Di Hujung Nyawa yang disiarkan di saluran Hip TV.

Katanya, dia bersyukur rezeki berlakonnya tidak putus.

“Siapalah saya untuk terlalu memilih. Bagi saya, setiap watak diterima itu adalah rezeki dan tak kiralah sama ada babaknya banyak atau sedikit. Kalau dirasakan watak itu sesuai dan mampu dilakonkan, saya terima.

“Jujur dikatakan, saya teruja dengan tawaran watak Nur Azira itu walaupun dia seorang ibu dan wanita agak berusia. Saya melihat watak ini satu cabaran besar yang mampu menguji tahap lakonan saya.

“Pada saya, peluang melakonkan watak yang berbeza seperti ini secara tidak langsung membantu memperbaiki lakonan saya. Tak dinafikan, saya memang sukakan watak yang pelbagai kerana boleh menimba pengalaman,” katanya.

Azza yang kini sudah bergelar tunangan orang berkata, buat masa ini dia belum lagi membuat sebarang persiapan perkahwinan.

Namun, katanya bagi diri sendiri dia memang sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri.

Mengikat pertunangan dengan lelaki pilihannya Alif Ehsan Rahim, 28, dia mengakui minatnya untuk menyanyi memang sudah tiada.

Jadi, dia memberi tumpuan sepenuhnya pada lakonan saja.

Mengulas mengenai majlis perkahwinan impiannya pula, Azza berkata, dia selesa memilih untuk bersederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.