Azmin Terus Serang Khalid Ibrahim

Kuala Lumpur – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seolah-olah mengambil kesempatan untuk melunaskan dendam politik secara berterusan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diibaratkan banyak pihak sebagai musuh tradisinya dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

Dalam serangan terbaharunya, Mohamed Azmin menempelak Abdul Khalid kerana dikatakan gagal mendedahkan hasil siasatan jawatankuasa khas untuk memantau perbelanjaan dana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau mendakwa, Abdul Khalid telah berjanji untuk mengumumkan hasil siasatan dalam tempoh dua minggu selepas jawatankuasa yang terdiri daripada barisan Exco kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu ditubuhkan pada 12 Februari lalu.

Menurut Mohamed Azmin, sebarang tindakan yang bakal diambil adalah bergantung kepada hasil siasatan agar adil kepada para pegawai dan kakitangan PKNS yang terlibat.

“Saya perlu tahu apa hasil siasatan kerana telah terlalu lama, dijanjikan dahulu dalam tempoh dua minggu.

“Sekarang sudah lebih enam bulan, jadi saya perlu lihat apa hasil siasatan tersebut,” katanya kepada pemberita dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidiladha anjuran beliau di padang bola sepak AU2, Keramat di sini hari ini.

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Abdul Khalid itu bertujuan menyiasat dana perbelanjaan bagi pasukan bola sepak PKNS FC sebanyak RM9 juta setahun, program pembangunan usahawan sebanyak RM5 juta setahun dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat sebanyak RM30 juta setahun.

Mohamed Azmin digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS pada 10 Januari lalu dan sebelum itu, beliau agak lantang mengkritik dasar-dasar yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Abdul Khalid seperti kenaikan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri dan pengurangan peruntukan pembangunan.

PKNS juga pernah dikaitkan dengan pelbagai kontroversi lain termasuk penukaran dua pegawai kanan PKNS iaitu Pengurus Besarnya, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutifnya, Norita Mohd. Sidek ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor serta penamatan khidmat 30 kakitangan bertaraf kontrak.

Sebelum ini, Mohamed Azmin telah mengkaji semula dan membatalkan satu persatu tindakan atau keputusan yang dibuat ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid.

Tindakan-tindakan yang diambil beliau adalah membatalkan kenaikan kadar elaun Menteri Besar, Exco, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor serta mengkaji semula perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor yang dimeterai dengan kerajaan Persekutuan dan projek pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu, pentadbirannya belum membuat sebarang keputusan tentang isu 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS ) dalam serbuan di pejabat Persatuan Bible Malaysia, Petaling Jaya pada Januari lalu.

“Saya belum dapat penjelasan daripada JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Itu perkara yang kita akan bincang disebabkan yang kita tumpu minggu lepas adalah soal air,” ujarnya.

Beliau mengakui tidak mempunyai maklumat tentang isu tersebut dan menyatakan, tindakan lanjut adalah tertakluk kepada perbincangan dengan JAIS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.