Aliff Aziz Curi Telefon Bimbit, Kes Paling Memalukan

TIADA sidang akhbar akan dibuat untuk memulihkan kembali nama Aliff Aziz dalam masa terdekat – itu antara kenyataan tak rasmi yang Syed dengar daripada pihak pengurusan Sony Music berhubung kes yang melanda penyanyi itu baru-baru ini.

Walaupun Aliff ada mengeluarkan kenyataan yang pihak pengurusannya akan mengadakan sidang media sedikit masa lagi, itu bukan daripada pihak mereka. Yang pasti kes kecurian yang terpalit kepada Aliff akan diselesaikan sendiri olehnya.

Bukan apa, Syed dengar lagi memang ada beberapa orang kuat syarikat tersebut menanggung malu. Nama Aliff sebelum ini pun banyak tercalar dan kes kali ini tambah melukakan hati mereka yang sentiasa bersama-samanya sejak dahulu.

Terbaru misteri kehilangan Aliff terungkai apabila dia didakwa di mahkamah atas kes mencuri telefon bimbit. Bagaimanapun dia mengistilahkan perkara berkenaan sebagai ‘mangsa yang berada di tempat yang salah’, Aliff membayar denda $2,000 (RM5,138) atau penjara jika gagal berbuat demikian.

Aliff melakukan kesalahan itu pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya dikatakan mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza. Dia dilaporkan telah didakwa pada 16 Ogos lalu atas kesalahan tersebut.

Iyalah orang ingat apabila Aliff hilang seketika dia muhasabah diri tapi nampaknya ada kes besar yang cuba disorokkan selama ini. Peminat selama ini pun percaya kata-kata ibu Aliff yang mengatakan anaknya baik-baik sahaja.

Pun begitu yang Syed dengar lagi kontrak Aliff bersama-sama syarikat tersebut juga akan dikaji kembali. Bukan soal siapa betul atau siapa yang bersalah tetapi apabila sudah melibatkan kes mahkamah pastinya menjadi isu yang berat untuk mereka hadapi.

Yang Syed dengar lagi pihak pengurusan sendiri sudah patah hati untuk menjaga penyanyi ini. Setiap tahun ada sahaja masalah yang timbul sedangkan dia sudah berjanji untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Kasihan…

Syed: Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.