Pinjaman Kedua Terbitan Bon Samurai Diteruskan, Jumlah Lebih Besar – PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan.

Menurutnya, Malaysia sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe bagi terbitan bon terbabit, bagaimanapun kini terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk meneruskan rundingan berkenaan.

“Terpulang kepada Menteri Kewangan, sebab dia yang menguruskan (bon Samurai),” katanya ketika sidang media di Kyoto, Jepun.

Jepun kali ini menawarkan kadar faedah yang lebih rendah iaitu 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus yang diberikan bagi pinjaman bon Samurai sebelum ini.

Mengenai pendapat pakar kewangan yang mengatakan langkah kerajaan menerbitkan bon baru adalah berisiko tinggi, Mahathir berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan pandangan pakar.

“Ada yang kata amat bahaya kalau kita guna bon Samurai kerana mungkin nilainya naik, itu satu kemungkinan tetapi kalau kita tidak tukar, kita guna pinjaman yang dikenakan kadar faedah enam hingga tujuh peratus maka itu akan tetap membebankan kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau mahu meneruskan terbitan itu tetapi pada masa sama akan mendengar pendapat pakar mengenainya.

“Saya mahu meneruskan ini (terbitan bon Samurai kedua), tetapi kita kena dengar pendapat pakar kerana saya bukan pakar…malah saya bukan pakar ekonomi…jadi pendapat saya berkenaan ekonomi pun tidak betul tetapi entah macam mana negara kita dapat dibangunkan semasa saya jadi Perdana Menteri dulu.

“Bagaimanapun kita tidak boleh berhutang daripada satu punca sahaja, kita mesti berhutang daripada banyak punca, kerana jika satu punca itu bermasalah, kita ada punca yang lain,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nilai bon yang akan diterbitkan, Dr Mahathir berkata, ia mungkin melebihi nilai terbitan pertama.

Malaysia menerbitkan pusingan pertama bon Samurai pada Mac lepas bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.34 bilion) dengan tempoh matang 10 tahun. – Hmetro

Lain-lain berita;

PM Akan Jumpa Gabenor Bank Jepun Bincang Pinjaman Baru Bon Samurai

Elak Tambah Hutang, Kerajaan Digesa Tidak Terbit Satu Lagi Bon Samurai

Hutang RM1 Trilion Bakal Jadi Kenyataan Jika Kerajaan PH Terus Meminjam

Isu Hutang RM 1 Trilion Yang Disebut Mahathir, Lim Guan Eng Mengelirukan – Perwakilan Amanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.