Video: Orang Melayu Bukan Penakut Cuma Masih Bersabar, Kata Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali terkilan dengan kenyataan bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang menyatakan orang Melayu kini sudah menjadi penakut.

Ibrahim, yang sering memperjuangkan isu Melayu berkata, orang Melayu bukan penakut sebaliknya diajar untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya.

“Sekiranya Islam diperkotak-katikkan dan kita tidak buat apa-apa, kita dikatakan bangsa penakut, tetapi kita diajar tidak bertindak sewenang-wenangnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Semalam, Hanif di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata orang Melayu kini tidak berani mempertahankan hak mereka.

Hanif mengambil contoh peristiwa siaran akhbar berbahasa Cina daripada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang disifatkannya satu kesalahan dan wajar diprotes.

Ibrahim bagaimanapun berkata sememangnya ada isu yang menguji tetapi masyarakat Melayu mengawal perasaan agar keadaan tidak bertukar buruk.

Beliau memberi contoh sikap prejudis terhadap Islam seperti pertikaian dalam soal hukuman terhadap kes lesbian di Terengganu baru-baru ini.

“Soal sebatan syariah ini katanya zalim tetapi sebatan mengikut cara sivil sudah lama dilakukan dan tidak ada yang bising. Prejudis terhadap Islam tebal sekali.

“Cumanya, nasib baik orang Melayu memahami dan dapat kawal perasan, tidak bertindak balas dengan cara yang boleh gugat keselamatan negara,” katanya.

Dalam isu lain, Ibrahim merayu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pendaftaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan segera.

“PPBM sebelum ini diluluskan dalam tempoh sebulan maka saya jangka dengan kerajaan baru ia akan jadi lebih cepat daripada kerajaan BN kerana kerajaan ini terbuka,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.