SPR Bersedia Hadapi PRK Balakong, Esok

BANGI: Persiapan rapi giat dijalankan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, esok.

Tinjauan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi kawasan DUN Balakong di Dewan Demesne Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, di sini, mendapati petugas terbabit berkumpul seawal jam 8 pagi bagi melakukan semakan terakhir peti undi.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata semakan rapi peti undi dibuat bagi memastikan tugas di tempat mengundi berjalan lancar membabitkan 128 saluran di 16 pusat pengundian biasa esok.

“Kita mengadakan proses semakan peti undi hari ini, iaitu semua KTM (Ketua Tempat Mengundi) dan kerani menyemak semua peralatan yang dibekalkan SPR kepada mereka termasuk alat tulis serta borang berkaitan.

“Selepas ini mereka akan kembali ke pusat mengundi masing-masing untuk menyusun atur mengikut peraturan ditetapkan.

“Keseluruhannya terdapat 129 saluran di 17 pusat mengundi bagi DUN Balakong termasuk saluran dan pusat mengundi awal yang selesai pada 4 September lalu,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan akhir petugas SPR, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Elias berkata, seramai 1001 petugas termasuk pegawai pilihan raya dari pejabat SPR dan negeri serta pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas esok.

“Persiapan berjalan amat lancar. Sebenarnya selepas diisytihar kekosongan (DUN) Balakong, kita sudah membuat persiapan rapi termasuk taklimat kepada ejen calon.

“Semalam misalnya, kita beri taklimat kepada urus setia dan petugas SPR. Walaupun ada kalangan mereka berpengalaman, kita tetap memberikan penerangan supaya mereka lebih bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengundi supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka esok.

“Kita masih berharap 70 peratus pengundi di sini akan keluar mengundi esok. Sebenarnya kita melakukan banyak usaha termasuk hebahan melalui televisyen bagi mengingatkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya juga menasihati pengundi menyemak pusat mengundi dan saluran mengundi bagi memudahkan proses pengundian esok.

“Kita nak elak semua tertumpu di barong dekat pusat mengundi dan mereka boleh menyemaknya melalui MySPR,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata, seramai 612 pegawai dan anggota PDRM akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses PRK Balakong, esok.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 246 pegawai dan anggota akan bertugas di 16 pusat mengundi dengan 12 hingga 15 orang bagi setiap pusat.

“Kita turut menerima bantuan daripada lapan pasukan Light Strike Force (LSF) bagi mengawal PRK ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.