Sebat LGBT: PH bimbang negeri lain ikut jejak Terengganu

BANGI – Pakatan Harapan (PH) bimbang terhadap perkembangan terkini khususnya berkenaan hukuman sebat ke atas pesalah yang membabitkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang julung kali dilaksanakan di Terengganu.

Kerajaan tersebut menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, susulan daripada itu wujud ura-ura bahawa negeri lain juga mahu melaksanakan hukuman seperti ini.

“Kita bimbang sejak apa yang berlaku di Terengganu, dengan segala penghormatan kita kepada peruntukan undang-undang dan kuasa negeri tetapi yang lebih besar lagi kita bimbang hari ini sudah keluar kenyataan yang menyatakan bahawa negeri lain pun akan sebat dan dibuat di khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang berkata kerajaan negeri itu dalam proses untuk mewartakan pindaan hukuman sebatan di khalayak umum bagi pesalah jenayah Syariah.

Isu sebat terhadap pesalah LGBT tercetus apabila Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada Isnin lalu mengenakan hukuman enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta, April lalu.

Pelaksanaan hukuman itu disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan Peguam Syarie. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.