Salah City Jorghinho Pilih Chelsea

LONDON: Jorginho memang sudah bersetuju dengan terma perpindahan ke Manchester City sebelum menyertai Chelsea tetapi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebenarnya gagal mencapai kata putus membabitkan jumlah yang ingin dibayar, kata ejennya.

Pemain antarabangsa Itali itu menyertai The Blues dengan nilai 52 juta pound (RM278.69 juta) selepas meninggalkan kelab Serie A, Napoli mengikuti jejak pengurus, Maurizio Sarri.

Pemain berusia 26 tahun itu mengharungi permulaan menakjubkan dalam kempen EPL setakat ini apabila tampil dalam kesebelasan utama bagi keempat-empat perlawanan pembukaan Chelsea bagi musim ini dan menang.

Seperti yang didedahkan sebelum ini, London bukanlah destinasi pertama Jorginho yang memiliki kemampuan teknikal baik ketika jendela perpindahan lalu apabila City dikatakan bersedia untuk memeterai perjanjian mega bagi membawanya ke Manchester.

Ejennya Jorginho, Joao Santos mengakui laporan berkenaan benar dan mengatakan pemainnya itu pada awalnya sudah bersetuju untuk berpindah ke Etihad.

“Semuanya sudah selesai dengan Jorginho. Ada persetujuan, tetapi tiada sebarang persetujuan di antara kelab. Kesemuanya perlu bersetuju, dan salah satu daripadanya tidak,” kata Santos.

“Kemudian Chelsea bertanya apakah situasi selepas ketibaan Sarri dan Jorginho pergi ke London.”

Santos berkata, Jorginho pantas melupakan kekecewaan gagal ke Etihad dan mendakwa pemain sudah pun berasa di rumah sendiri di Chelsea selepas mengharungi empat kemenangan.

“Dia benar-benar gembira di Chelsea, prestasi pasukan ini baik dan menang keempat-empat perlawanan. Ia permulaan yang hebat,” kata Santos.

“Pergi ke Chelsea adalah peluang yang unik, karier seseorang pemain amat singkat dan kini dia berharap yang terbaik.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.