Rokok Naik Harga

KUALA LUMPUR: Harga jualan runcit beberapa jenama rokok meningkat di pasaran susulan penguatkuasaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu.

Tinjauan NSTP di beberapa kedai menjual rokok mendapati beberapa jenama terkenal mengalami peningkatan sebanyak RM0.50 daripada harga lama sebelum ini.

Antara jenama yang mengalami kenaikan harga adalah Dunhill, Benson & Hedges, Pall Mall, Peter Stuyvesant dan Rothman.

Sementara itu, jenama Marlboro, Chesterfield dan L&M masih dijual pada harga lama.

Menurut seorang penjaga sebuah kedai serbaneka yang enggan dikenali, rokok di kedai berkenaan dijual dengan harga baharu bermula semalam.

“Ada jenama rokok yang naik harganya, ada juga jenama yang masih dijual dengan harga lama, harga naik sebanyak RM0.50, kalau yang harganya RM17, kami jual RM17.50

“Kami mula menjual dengan harga baharu semalam, bagi jenama lain mungkin juga akan mengalami kenaikan harga,” katanya.

Pekerja swasta, Shukran Sham, 38, berkata beliau tidak menyedari harga rokok naik di pasaran

“Saya selalu membeli rokok jenama Marlboro, dan saya masih membayar sebanyak RM17 untuk rokok saya, tetapi rakan saya yang membeli rokok Dunhill mula membayar harga baharu sejak semalam,” katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, senarai kenaikan harga rokok yang viral di media sosial menunjukkan kenaikan harga sebanyak RM0.50 untuk beberapa jenama rokok terkemuka.

Pada 30 Ogos lalu, JT International Bhd (JTI Malaysia) mengumumkan harga rokok bagi semua jenama yang diedarkannya di Malaysia akan meningkat selepas penguatkuasaan SST pada 1 September.

“Pengenalan cukai jualan pada 10 peratus bagi produk tembakau di Malaysia akan bermakna peningkatan bagi semua jenama rokok kami, dengan mengambil kira perbezaan kadar kenaikan daripada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilevikan ke atas rokok,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke dalam satu kenyataan.

Jun lalu, harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan walaupun GST ditetapkan pada kadar sifar.

Kali terakhir syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok adalah pada November 2015 susulan kenaikan eksais rokok selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.