Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Ahmad Muazz Naimullah Mohd. Azhar, 14, dari Kampung Sura Hujung, Dungun meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi memberitahu, mangsa dikatakan bersama sekumpulan tujuh rakannya menyertai riadah pagi di padang madrasah berkenaan.

“Seorang pelajar dilihat bergayut di tiang gol yang kemudiannya terbalik dan telah menimpa mangsa.

“Mangsa tertindih, dan rakan berjaya mengangkat semula tiang gol berkenaan.

“Mangsa berjaya bangun namun selepas beberapa langkah berjalan, dia dikatakan rebah dan guru segera membawanya ke Hospital Besut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, hasil pemeriksaan lanjut doktor mendapati punca kematian mangsa disebabkan patah tulang leher.

“Siasatan pada mayat mangsa mendapati tidak ada sebarang luka dan cuma kesan lebam pada belakang leher.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati tiang besi yang menimpa mangsa tidak ditanam dengan cukup dalam.

“Tinggi tiang gol itu kira-kira 2.1 meter manakala palang yang menghempap mangsa berdiameter 16 sentimeter,” katanya. – UTUSAN ONLINE