Mercedes Rempuh Restoran Makanan Segera

PETALING JAYA: Seorang pemandu lelaki berusia 40 tahun merempuh sebuah premis restoran makanan segera di Sunway Mentari, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata kejadian berlaku ketika lelaki yang bekerja sebagai pengurus itu singgah di restoran berkenaan untuk membeli sarapan.

“Dia dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja singgah di restoran itu untuk membeli sarapan.

“Apabila hendak beredar dari restoran itu, dia tersalah masuk gear dan menyebabkan kereta jenis Mercedes miliknya meluru laju ke depan dan merempuh pintu kaca restoran berkenaan.

“Rempuhan itu menyebabkan kerosakan di bahagian pintu, cermin dan dinding premis serta kereta lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, pihak pengurusan restoran makanan segera itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Kita sudah menjalankan ujian bagi mengesan penggunaan alkohol oleh pemandu itu berkenaan dan didapati negatif.

“Saman kemudian dikeluarkan terhadap pemandu itu mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.