KPDNKK Negeri Sembilan Terima 4 Aduan SST

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menerima empat aduan berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di negeri ini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa, berkata aduan pertama membabitkan pekedai perkakasan yang mempamerkan harga mengelirukan dan mengenakan cukai SST ketika bayaran dibuat.

Berikutan itu, katanya, pemilik kedai itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Aduan lain yang diterima termasuk restoran mengenakan cukai SST menggunakan tulisan tangan pada resit.

“Bagaimanapun selepas merujuk kepada Jabatan Kastam, tulisan tangan diterima bagi resit yang mempunyai nombor pendaftaran SST dan nilai cukai,” katanya di sini, hari ini.

Zubir berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai kad tambah nilai prabayar apabila pengguna menambah nilai RM50, tetapi hanya menerima RM47.

“Kita sudah rujuk perkara ini kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Pengguna kini menunggu pulangan baki nilai daripada syarikat telekomunikasi,” katanya.

Aduan terakhir diterima semalam membabitkan tindakan pemilik sebuah restoran makanan Jepun di Port Dickson meletakkan harga baharu pada setiap hidangannya.

Katanya, siasatan mendapati restoran itu tidak melakukan kesalahan kerana penandaan harga dibuat dengan jelas serta tanda harga baharu yang dipamerkan menunjukkan harga dan cukai SST. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.