Ifa Raziah Teringin Timang Cahaya Mata Perempuan

KUALA LUMPUR: Artis versatil popular, Ifa Raziah mengakui, keinginan untuk menimang cahaya mata perempuan sentiasa membara, malah tidak menolak untuk kembali hamil, meskipun sudah mencecah usia 40-an.

Ifa, 42, berkata, melihat teman artis terutama Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dikurniakan anak perempuan membuatkan keinginannya untuk menambah zuriat tidak pernah bernoktah.

“Memang saya mahu anak lagi dan jika boleh, saya mahu segera hamil. Tetapi apabila difikirkan kesibukan, terutama menguruskan perniagaan, bimbang pula. Lagi risau, bukan mudah mendapatkan semula bentuk badan selepas bersalin.

“Namun, jika ada rezeki, tidak mungkin saya menolak. Syukur jika dapat seorang lagi, terutama anak perempuan. Lagipun, anak lelaki saya sudah 14 tahun, manakala kakaknya pula 20 tahun.

“Sunyi rasanya apabila mereka tiada di rumah kerana apabila besar, masing-masing ada hal sendiri. Tinggal saya dengan pembantu rumah. Kalau ada anak kecil, berseri sedikit rumah,” katanya.

Ifa yang pernah dua kali menjulang trofi, Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 dan 3.0 berkata, pembantu rumahnya juga beriya-iya mahu melihatnya hamil lagi.

“Lucunya, dia sampai ‘mengugut’ mahu pulang ke Indonesia jika saya masih tidak dapat anak,” katanya yang sibuk menguruskan perniagaan produk pelangsingan badan, Solid Molid.

Menyentuh pencalonannya dalam kategori online, Artis Sensasi Popular, ABPBH 31, Ifa berkata, dia tidak meletak harapan tinggi.

“Sedih juga apabila tidak lagi tercalon dalam kategori Artis Versatil Popular, namun saya akur, bukan rezeki untuk bersaing tahun ini. Namun, saya bersyukur masih tidak dilupakan apabila nama berada dalam kategori online pula.

“Melihat senarai calon lain dalam kategori itu memang hebat, terutama terpaksa bersaing dengan Neelofa, Nur Fazura dan Zul Ariffin. Memang tipis harapan untuk menang, tetapi ada rezeki, siapa yang tidak gembira?,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.