Apa Lagi Dr Maszlee Mahu, Soal Zunar

KUALA LUMPUR – Lagi pemimpin dan aktivis pro Pakatan Harapan (PH) tampil membidas pelantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang dilihat bertentangan dengan prinsip gabungan itu.

Terbaru, kartunis Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque melahirkan rasa ‘tidak puas hati’ dengan pelantikan itu dengan menyoal apa lagi jawatan yang dimahukan Maszlee selepas menjadi Menteri Pendidikan.

Zunar dalam laman sosial Facebook beliau berkata, ‘Sudah jadi Menteri, lagi mau jawatan?’.

Beliau yang selama ini lantang dalam menyuarakan pandangan serta kritikan melalui lakaran kartun turut memberikan ‘nasihat’ kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam itu agar memberi peluang kepada orang lain.

“Kamu sudah jadi Menteri Pendidikan, lagi mau jadi Presiden UIAM? Bagi kesempatan kepada orang lain. Apakah di Malaysia tidak ada orang yang layak?,” tegurnya.

Teguran beliau turut dilampirkan dengan gambar Maslzee yang turut dikongsi netizen lebih daripada 150 kali selain daripada beratus-ratus pandangan positif dan negatif berhubung isu tersebut sejak enam jam lepas.

Rata-rata mereka meluahkan rasa marah dengan pelantikan tersebut dengan mendakwa ia hanya menunjukkan seseorang itu gila kuasa jika masih mahu menjawat jawatan sedemikian walaupun sudah bergelar Menteri.

Malah ada juga yang menasihati Maszlee untuk hanya fokus dalam Kementerian Pendidikan agar pelbagai transformasi positif dapat dibawa daripada menjawat jawatan Presiden UIAM.

Ada juga netizen yang meluahkan rasa kecewa kerana kepimpinan yang ditonjolkan oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional dan kini tidak banyak beza kerana sifatnya yang sama sahaja.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa menyatakan tidak bersetuju dengan pelantikan itu dan memohon Maszlee menimbang semula keputusan tersebut.

Usaha Malaysia Gazette untuk mendapatkan pandangan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Ketereh, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga gagal kerana beliau ‘mengelak’ daripada bercakap tentang perkara itu.

“Anda patut tanya Maszlee sendiri, jangan tanya saya. Saya tidak mahu komen tentang perkara ini,” katanya di lobi Parlimen. – Malaysia Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.