21 Hari Berkempen Tamat Tengah Malam Ini

KUALA LUMPUR: Tempoh 21 hari berkempen bagi pilihan raya kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong membabitkan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong, berakhir tengah malam ini.

Biarpun tamatnya kempen secara konvensional dan paling lama ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini, secara maya akan berlarutan sehingga pengundi berada di bilik mengundi pagi esok.

Kini terserah di tangan 62,188 pengundi biasa untuk membuat pemilihan sama ada mengundi Siew Ki ataupun Chee Teong esok untuk membawa ‘suara mereka’ dalam DUN Selangor, selepas 28 daripada 31 pengundi awal kalangan pegawai dan anggota polis mengundi pada 4 September lalu.

Mengikut statistik SPR, seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu.

Difahamkan, tiga daripada 31 pengundi awal tidak mengundi kerana tamat tempoh perkhidmatan dan berdepan masalah disiplin.

SPR dalam pada itu menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK Balakong dan Seri Setia yang diadakan serentak, esok, sekali gus mengatasi peratusan pengundi yang rendah pada PRK Sungai Kandis, 4 Ogos lalu.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood dipetik berkata pengundi dinasihatkan merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir walaupun tempoh mengundi dilanjutkan sehingga 5.30 petang.

Selain itu, bagi melancarkan proses pengundian, SPR turut menambah 29 saluran baru termasuk dua dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, menjadikan keseluruhan 129 saluran di 17 pusat pengundian.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Pada PRU-14, mendiang menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS) dengan majoriti 35,538 undi.

PRK DUN Balakong ini juga menjadi medan ujian sejauh mana MCA masih releven kepada pengundi Cina apabila buat pertama kalinya akan menggunakan logo parti sendiri.

Biarpun Chee Teong, 40, adalah anak jati Balakong, beliau mengakui sukar meraih sokongan pengundi di kubu kuat DAP itu berbanding Siew Ki selaku Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.