Tidak Perlu DAP, Johor Lebih Maju ― Liang Teck Meng

Yang Berhormat (YB) Lim Kit Siang sudah tentunya jarang datang ke kawasan parlimen beliau Gelang Patah sekiranya beliau berjanji untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Johor jika DAP mengambil alih Johor pada pilihan raya yang akan datang.

Sekiranya YB Lim kerap kembali, beliau tidak akan gagal melihat perkembangan pesat yang bukan saja di Gelang Patah tetapi juga di seluruh Johor.

Bawah kepimpinan Menteri Besar Johor YAB Datuk Khaled Nordin, Johor telah mendahului Pulau Pinang dalam semua aspek sejak DAP mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008.

Dari segi angka KDNK per kapita yang disebut oleh YB Lim, KDNK per kapita Johor telah meningkat sebanyak 57.5 peratus dari tahun 2008 hingga 2015 berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 42.9 peratus di Pulau Pinang.

Mengikut angka yang diumumkan oleh ketua menterinya pada hujung tahun lepas, Pulau Pinang menduduki tempat ketiga paling rendah dari segi pertumbuhan KDNK per kapita di kalangan 15 negeri dan wilayah di Malaysia dalam tempoh lapan tahun sejak DAP mengambil alih Pulau Pinang.

Akibatnya, sejak tahun 2008, Johor telah mendahului Pulau Pinang dari segi pendapatan isi rumah bulanan median dan gaji median. Malah, Melaka juga mendahului Pulau Pinang dari segi pendapatan isi rumah bulanan median dalam tempoh yang sama.

Menurut angka rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sejak Kit Siang menjadi ahli parlimen Johor pada tahun 2013, Johor telah mendahului kedudukan Pulau Pinang dalam setiap tahun dari segi jumlah pelaburan yang diterima.

Bagi tahun 2013 hingga tahun 2016, Johor telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM93.1 bilion atau lebih empat kali ganda berbanding dengan RM23.1 bilion yang diperolehi oleh Pulau Pinang.

Dari segi kewangan kerajaan negeri, Johor juga jauh mendahului Pulau Pinang dengan rizab Johor yang meningkat sebanyak 13 kali ganda dari RM201.5 juta pada tahun 2008 ke RM2.63 bilion pada tahun 2015.

Angka ini jauh mengatasi pertumbuhan rizab Pulau Pinang dari RM1.03 bilion pada tahun 2008 ke RM1.53 bilion pada tahun 2016 — meskipun selepas penjualan tanah, hak dan aset negeri yang bernilai puluhan bilion.

Walau bagaimanapun, terdapat satu aspek di mana Pulau Pinang berjaya mengalahkan Johor iaitu dari segi peningkatan perbelanjaan operasi negeri.

Perbelanjaan tahunan negeri Pulau Pinang bagi tahun 2017 ialah sebanyak RM1.45 bilion – atau 500 peratus berbandng dengan saiz yang ada pada tahun 2008 sebanyak RM283 juta.

Berbanding dengan perbelanjaan negeri Johor yang sebanyak RM1.61 bilion bagi tahun 2017 — kurang daripada dua kali ganda dengan RM883 juta yang dibelanjakan pada tahun 2008.

Dari segi membelanjakan wang dan meningkatkan kos operasi tahunan, kerajaan DAP Pulau Pinang adalah lima kali ganda lebih hebat daripada kerajaan BN Johor.

Ini bermakna kos kerajaan negeri untuk mentadbir Pulau Pinang hampir sama dengan kos untuk mentadbir Johor.

Ini kerana Johor di bawah pentadbiran yang baik dengan projek kerajaan negeri BN, tidak seperti Pulau Pinang, Johor tidak membelanjakan RM220 juta untuk “laporan” bagi projek lebuh raya yang terbantut selama 3 1/2 tahun sebelum memulakan pembinaan atau membina lebuh raya seperti Pulau Pinang Link 1 yang memakan kos sebanyak RM385 juta bagi setiap km, ia merupakan lebuh raya yang paling mahal di Malaysia setakat ini.

Kilang dan pelaburan juga tidak meninggalkan Johor dengan magnitud yang sama seperti yang anda dapat perhatikan di Pulau Pinang — seperti penutupan kilang-kilang besar pada kebelakangan ini yang melibatkan Seagate, Western Digital dan banyak lagi nama lain yang terkenal yang telahpun bertapak di Pulau Pinang selama beberapa dekad sebelum DAP mengambil alih.

Secara jelasnya, Johor lebih baik daripada Pulau Pinang dan tidak memerlukan DAP.

YB Lim Kit Siang dan YB Liew Chin Tong dinasihatkan supaya menawarkan “kepakaran” mereka untuk membantu kerajaan DAP Pulau Pinang bagi mengejar Johor sebelum mereka bercadang untuk membantu Johor dan membuat janji kosong sedangkan mereka sedar bahawa DAP akan gagal untuk menunaikan janji mereka.

* Liang Teck Meng adalah ahli parlimen Gerakan bagi Simpang Renggam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.