Saingan Bukan Bebanan

Memasuki tahun kelima penglibatannya dalam industri seni, usia karier pelakon Janna Nick masih dalam kategori ‘hijau’. Namun dia punya kelebihan apabila sentiasa memperoleh rezeki untuk menjadi teraju utama dalam drama lakonannya.

Pada masa yang sama, Janna atau Nurul Jannah Muner ini juga telah berjaya meraih beberapa anugerah pilihan peminat. Namun gadis manis berusia 22 tahun ini tidak dapat lari daripada berdepan saingan.

 

Bercerita tentang soal ini, Janna sentiasa memandang dari sudut positif. Tambahan pula dengan prinsip kariernya, Janna tidak pernah berasa saingan daripada bakat baharu memberi beban kepadanya.

“Saya tidak ada masalah dengan kemunculan ramai bakat baharu dan lebih muda berbanding saya. Bahkan, saya suka melihat Hannah Delisha, bakat dari Singapura yang kini semakin dikenali di Malaysia.

“Bagi saya, industri kita masih lagi kekurangan bakat pelapis. Oleh itu, kalau semakin bertambah bakat pelapis bagi saya itu satu situasi yang bagus untuk perkembangan industri.

“Tambahan pula, untuk bergelar pelakon yang baik, saya tidak boleh terlalu tamak mengejar tawaran.

“Memang adakalanya saya rasa terkilan apabila tidak dapat menerima tawaran yang diberikan. Namun saya faham itu bukan rezeki saya.

“Sejak dahulu lagi saya memegang prinsip untuk tidak menerima banyak tawaran dalam satu masa. Ini kerana bagi saya, setiap watak itu berbeza dan memerlukan kajian untuk dilaksanakan.

“Jika saya berlakon dua drama pada satu masa pastinya sukar untuk saya sesuaikan diri dengan watak yang berbeza itu.

“Sebagai contoh, sekarang ini saya sedang menjalani penggambaran drama Coffee Prince dan memegang watak tomboy. Kalau pada sama yang sama saya turut berlakon untuk drama lain, tentu akan mengelirukan.

“Jadi, pada pendapat saya, kemunculan saingan itu sesuatu yang positif bukan sahaja untuk industri tetapi juga untuk membantu meningkatkan lagi prestasi lakonan seseorang pelakon itu,” jelas anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Duta produk

Bukan sahaja tidak mengamalkan sifat tamak dalam kerjaya lakonan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Syurga Nur ini juga menerapkan prinsip yang sama apabila diberikan tawaran untuk bergelar duta produk.

Menyifatkan tugas sebagai duta produk perlu dilaksanakan dengan ikhlas, Janna juga mengakui yang dia tidak mahu tamak membolot semua tawaran.

Dia tidak mahu tamak menerima semua tawaran mendatang sebaliknya Janna akan memastikan produk yang diberikan kepadanya sesuai dengan kriteria dirinya.

“Dalam soal ini, saya amat bersyukur kerana diberi rezeki dan peluang untuk menjadi jurucakap bagi beberapa produk yang percayakan saya membawa jenama mereka.

Gadis lasak

“Bagi saya, bukan mudah untuk menerima setiap tawaran yang datang.

“Katakanlah saya ditawarkan untuk mempromosikan produk yang tidak kena dengan karakter saya, agak sukar untuk saya terima.

“Orang kenal saya sebagai seorang gadis lasak jadi pastinya tidak sesuai untuk saya menjadi duta bagi produk yang mencerminkan kelembutan dan keayuan seseorang wanita.

“Tidak adil sekiranya saya bercakap tentang produk yang saya sendiri tidak menggunakannya.

“Bergelar duta produk ini bukan sahaja tentang tugas dan tanggungjawab terhadap penjualan produk tersebut tetapi juga memerlukan keikhlasan dan kejujuran,” ujarnya.

Tiada kisah di belakang tabir

Berkongsi cerita tentang drama Coffee Prince yang kini dalam proses penggambaran, Janna tidak mahu menjaja kisah-kisah di belakang tabir terutama melibatkan cinta lokasi dengan pelakon yang popular dengan isu tersebut, Fattah Amin.

Sebaliknya penyanyi lagu Mungkin Saja ini mengharapkan agar peminat menyokong dan menyukai drama tersebut atas dasar jalan cerita dan kualiti lakonan mereka.

“Sehingga hari ini saya tidak pernah memuat naik sebarang gambar dengan Fattah.

“Saya bertindak sebegitu kerana tidak mahu menjual kisah di belakang tabir sepanjang kami terlibat dalam penggambaran drama tersebut.

“Ini kerana saya amat mengharapkan peminat menyukai drama tersebut kerana ceritanya, bukan berdasarkan kisah-kisah sampingannya,” akhiri Janna.-UtusanOnline

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.