RCI: Anwar Dipersoal Kenapa Tidak Lapor Kerugian Sebenar Forex Kepada Kabinet

Prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat mengenai kerugian yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai urus niaga mata wang asing Forex panas selepas Tan Sri Sidek Hassan mempersoalkan kenapa Anwar tidak melaporkan kerugian sebenar kepada Kabinet?

Sidek yang merupakan Pengerusi RCI mempersoalkan kenapa Anwar yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu hanya memaklumkan kerugian akibat Forex hanya RM5.7 bilion pada 1993 sedangkan kerugian sebenar pada tahun itu adalah RM15.291 bilion.

“Soalan saya macam mana dengan pengolahan kerugian itu dilakukan. Anda tahu tentangnya tetapi tidak laporkan kepada Kabinet?,” demikian soal Sidek kepada Anwar pada sidang RCI yang diadakan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Pada sidang RCI itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir kali kedua bagi menyaksikan perjalanan prosedur ini.

Beliau tiba pada pukul 2.20 petang dan berada di situ selama kira-kira dua jam.

Anwar yang merupakan saksi ke-21 RCI kemudiannya memberitahu laporan yang dibentangkan di Kabinet adalah berdasarkan kepada laporan Audit Negara dan Bank Negara.

Anwar juga ditanya sama ada beliau memaklumkan perkara itu kepada Mahathir. Beliau memberitahu telah berbincang dengan Mahathir dan bekas Perdana Menteri itu tidak memberi arahan.

Beliau yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas kesalahan liwat turut menyatakan bahawa beliau dimaklumkan oleh bekas gabenor, Tan Sri Jaffar Hussein bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah melebihi mandat.

“Jaffar memaklumkan Nor Mohamed telah melebihi mandat dan tidak beri laporan yang benar kepada dia,” katanya. – Suara.tv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.