PBB Dedah 164,000 Pelarian Rohingya Larikan Diri Dari Myanmar

COX’S BAZAR – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan, hampir 164,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak dua minggu berikutan pertempuran yang masih meletus antara pasukan tentera dan kumpulan militan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PBB berkata, perangkaan terbaru itu bermakna lebih daripada suku juta pelarian telah meninggalkan Myanmar sejak pertempuran pertama meletus Oktober tahun lalu.

Peningkatan jumlah itu sebahagian besarnya diakibatkan oleh operasi besar-besaran tentera yang membalas dendam selepas diserang hendap militan Rohingya 25 Ogos lalu.

Sejumlah 87,000 pelarian telah melarikan diri ke Bangladesh antara Oktober tahun lalu sehingga 25 Ogos.

Lebih sejuta etnik Rohingya di Myanmar berdepan konflik kerakyatan apabila mereka tidak diiktiraf pemerintah malah turut dikenakan pelbagai larangan di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu.

Walaupun telah mendiami Myanmar untuk beberapa generasi, etnik Rohingya masih dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Bangladesh pula sehingga Oktober tahun lalu telah menjadi kediaman kepada 400,000 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di wilayah mereka. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.