Nazri Galakkan PKR Terus Berkelahi

Teruslah berbalah – itu galakan diberi Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz buat PKR yang kini berdepan kemelut dalaman parti.

“Tolong bertengkar lagi. Londehkan semua masalah kamu di depan orang ramai. Kita alu-alukan,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan berkata, lebih banyak masalah dihadapi PKR, ia memberi faedah lebih besar buat BN.

Ditemui media dalam sidang media di kementeriannya Nazri diminta mengulas situasi semasa PKR yang kini terbahagi kepada dua kumpulan utama.

Satu kumpulan cenderung untuk terus memujuk PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) manakala satu lagi menggesa keputusan muktamad mengenai sikap PKR dibuat melalui kongres khas melibatkan anggota akar umbi.

Di tengah kemelut itu pula ialah “warkah” pemimpin umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setakat ini dilihat tidak membantu meredakan keadaan, sebaliknya menambah kekeliruan.

Semalam Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya, membidas Rafizi Ramli atas komentar naib presiden parti itu kepada peguam kanan dan bekas pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Semangat sedang tinggi

Hari ini Malaysiakini melaporkan Datuk Seri Azmin Ali menggesa semua pihak tidak bercakaran secara terbuka sebaliknya memberikan fokus kepada memperkukuhkan persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Nazri berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar bertanya kepada dirinya sendiri secara jujur sama ada perlu meminta maaf atas tindak-tanduknya sebelum ini atau tidak.

“Terserah pada hati nuraninya, kerana sebelum ini dia cakap lain. Sekarang dia cakap sesuatu yang lain.

“Jadi bagi orang yang dia telah tersinggung dengannya sebelum ini, dia harus meminta maaf, ” katanya.

Sepanjang tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri Dr Mahathir berdepan dengan pelbagai isu dan kritikan, termasuk dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan kerajaan kuku besi.

Bagaimanapun selepas berpindah kem menjadi pembangkang, kebanyakan pengkritik Dr Mahathir menerimanya dengan sikap terbuka. Sebahagian yang lain pula tetap menuntut beliau meminta maaf atas tindakannya semasa dalam kerajaan dulu.

Kata Nazri bagi Umno tidak timbul isu Dr Mahathir perlu meminta maaf atau tidak kerana parti itu kini sedang dalam semangat untuk “berjuang”.

“Dia boleh datang dalam apa bentuk pun. Minta maaf atai tidak, kami tak peduli,” katanya.

Sementara itu mengenai isu cukai pelancongan yang baru dilaksanakan di negara ini, Nazri berkata, ia menunjukkan kesan menggalakkan.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan ia baru tujuh hari bermula, tiada butiran terperinci mengenainya dapat dibentangkan hari ini.

“Kami menjangkakan ada masalah timbul tetapi setakat ini tiada yang dapat dimaklumkan kepada orang ramai,” katanya.
Sidang media hari ini diadakan untuk mengumumkan pencalonan bagi Anugerah Pelancongan Malaysia 2016 – 2017.

Tahun ini kata Nazri ada 14 kategori disediakan termask Tarikan Pelancongan Terbaik, Perkhidmatan Hotel Terbaik dan Rencana Pelancongan Terbaik.

Maklumat lanjut mengenai anugerah itu boleh diperolehi melalui laman sesawang kementerian pelancongan dan kebudayaan, atau mendapatkan borang pencalonan di pejabat-pejabat Pelancongan Malaysia di seluruh negara.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.